X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 17 Januari 2022

Perbezaan tawaran dalam kempen BN, PN jadi perhatian

Apa yang menarik perhatian pada PRN kali ini pastinya tawaran bakal diberikan oleh BN dan PN.
A
A

DENGAN bermulanya kempen pilihan raya negeri (PRN) selepas selesai sesi penamaan calon pada Isnin lalu, rakyat di Melaka pastinya menantikan tawaran dan janji yang bakal dikemukakan oleh calon yang bertanding.

Setiap daripada parti politik tentunya sudah memiliki strategi dan perancangan yang tersendiri bagi memastikan segala idea, maklumat dan tawaran yang mahu diberikan sampai kepada masyarakat di kawasan masing-masing sepanjang tempoh 12 hari berkempen.

Namun, apa yang menarik perhatian pada PRN kali ini pastinya tawaran bakal diberikan oleh dua gabungan parti politik yang membentuk kerajaan Persekutuan iaitu Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Ini kerana kedua parti ini dilihat tidak mempunyai perbezaan begitu ketara khususnya dalam isu melibatkan kepentingan bumiputera dan agama Islam jika hendak dibandingkan dengan gabungan pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH).

Justeru, selain daripada mempertaruhkan kredibiliti calon, kedua-dua parti dijangka memberikan perhatian terhadap isu dan masalah setempat.

Pada Selasa, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO tidak akan mengecewakan orang muda untuk mengembalikan kemakmuran negeri Melaka pada PRN Melaka.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut berkata, UMNO kekal relevan diyakini rakyat Malaysia dari generasi ke generasi sehingga ramai anak muda di seluruh negara bersetuju dengan falsafah perjuangan mereka.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin menasihati pengundi di Melaka supaya memilih wakil rakyat yang berintegriti termasuk individu yang tidak pernah dikaitkan dengan pengganas.

Beliau mengeluarkan nasihat tersebut berikutan calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, G Saminathan pernah didakwa atas pertuduhan memberikan sokongan kepada kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) pada dua tahun lalu.

Sementara itu, calon BN bagi DUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis pada Selasa menafikan dakwaan wujudnya dua singa atas satu gunung dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri Melaka.

Tegas beliau, dakwaan tersebut hanya dongengan ciptaan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang didakwanya hanya mahu memecahbelahkan UMNO dan BN di Melaka.

Calon BN DUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin pada Selasa memaklumkan bahawa beliau akan memberikan tumpuan terhadap usaha untuk mengatasi masalah banjir di beberapa tempat di kawasan tersebut.

Rais berkata, masalah itu merupakan isu paling utama selain masalah capaian internet.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menyatakan keyakinannya bahawa calon parti itu mampu membuat kejutan dan menarik pengundi muda.

Menurut Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli, kesemua calon Pas itu datang daripada pelbagai latar belakang, namun mempunyai ‘satu sasaran’ iaitu membawa kemenangan kepada parti di bawah ‘payung’ PN.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!