Bayangan Harimau Malaya

Skuad Harimau Malaya bakal beraksi dalam saingan Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura. -Foto FB FAM
Skuad Harimau Malaya bakal beraksi dalam saingan Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura. -Foto FB FAM
A
A
A

“BAYANGAN pemain sudah ada tetapi saya tak boleh umum sekarang.” Itu reaksi balas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe ketika diajukan persoalan tentang barisan pemain yang menjadi pilihannya menjelang Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura bulan depan.

Malah, Cheng Hoe mahu lebih ‘berdiplomasi’ saat diajukan pertanyaan kemungkinan barisan pemain sama yang menggalas cabaran Harimau Malaya pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun lalu akan dibawa ke Singapura nanti.

“Setakat ini saya sudah nampak bayangan pemain, cuma senarai nama tersebut masih belum boleh finalise lagi sebab kita nak bagi mereka tumpu kepada Piala Malaysia terlebih dahulu.

“Takut nanti kalau kita umum awal, mungkin ada pemain akan kecewa kerana tak dipilih mewakili pasukan negara. Lagi pun kita kena meneliti lebih mendalam pemain-pemain yang akan dibawa ke Singapura.

“Dengan tempoh masa yang cukup terhad sebelum Piala Suzuki AFF bermula, saya dan barisan jurulatih harus membuat keputusan yang adil kepada semua pihak termasuk pemain itu sendiri,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Sebelum ini, Cheng Hoe tidak menolak untuk memanggil lebih ramai pemain muda bagi memperkuatkan cabaran Harimau Malaya pada saingan Piala Suzuki AFF 2020 yang akan berlangsung dari 5 Disember hingga 1 Januari 2022.

Luqman Hakim Shamsudin, Mukhairi Ajmal Mahadi, Quentin Cheng dan Hakimi Abdullah antara pemain muda yang berjaya mempamerkan aksi baik ketika bersama Harimau Malaya dalam dua aksi persahabatan di Jordan pada awal bulan lalu.

Keempat-empat pemain terbabit juga menjadi antara nadi utama skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara ketika muncul juara Kumpulan J Kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Ulaanbaatar, Mongolia bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

Ketika ditanya kemungkinan dua tonggak Selangor FC - Shahrel Fikri Md Fauzi dan Brendan Gan disenaraikan, Cheng Hoe berkata, ia bergantung kepada kecergasan dan prestasi kedua-dua pemain berkenaan.

“Brendan kini masih menjalani proses penyembuhan selepas dia disahkan mengalami kanser (testis). Jadi saya susah untuk memberi gambaran sama ada dia akan disenarai atau gugur daripada pasukan kali ini.

“Bagi Shahrel Fikri, saya nampak dia sudah mula nampak rentak. Seperti kita tahu, bukan mudah untuk mana-mana pemain mendapatkan prestasi terbaik mereka kembali selepas berehat panjang hampir enam bulan,” jelasnya.

Cheng Hoe memberitahu, kesemua pemain akan dipanggil menyertai kem latihan skuad kebangsaan sejurus selepas tamat aksi separuh akhir Piala Malaysia.

“Kita akan ada call up dua kali. Pertama untuk pemain pasukan yang tidak layak ke final (Piala Malaysia), selepas itu untuk mereka yang berjaya layak ke final,” jelasnya.