Ahli Parlimen minta akses data projek pembangunan

Dewan Rakyat. - Gambar fail
Dewan Rakyat. - Gambar fail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa Ahli Parlimen meminta supaya diberikan kemudahan untuk mengakses data daripada agensi tertentu bagi tujuan pembangunan infrastruktur di kawasan masing-masing.

Antaranya Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang berkata, bank data diperlukan untuk melihat dan mengetahui keberkesanan pembangunan tertentu.

“Kalau tidak ada bank data, bagaimana kita hendak tahu keberkesanan pendekatan pembangunan yang diturunkan oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Selain itu, Azalina meminta penjelasan sama ada kerajaan mempunyai strategi untuk mengagihkan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada industri mega secara langsung supaya dapat disalurkan kepada inisiatif penambahbaikan infrastruktur seperti sistem lampu solar percuma, biasiswa untuk pendidikan penduduk tempatan dan sistem pengangkutan percuma kepada warga emas.

“Kenapa tanggungjawab ini selalu diambil oleh kerajaan pusat atau kerajaan negeri. Kenapa tidak boleh cukai-cukai yang dikutip diberikan peratusan kepada mereka yang memerlukan bantuan di kawasan pembangunan sendiri,” katanya.

Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) pula meminta Kementerian Pembangunan Luar Bandar menyimpan data untuk maklumat peruntukan projek di setiap Parlimen.

"Apa peruntukan, apa projek yang telah dilaksanakan, apa projek yang sedang berjalan dan apa yang diperlukan tetapi sampai ke hari ini, saya tidak nampak ia dilaksanakan atau dibuat secara berterusan oleh kementerian," katanya.

Selain itu, beliau berkata, peruntukan seharusnya dinilai dari segi keluasan dan keperluan mengikut kawasan Parlimen memandangkan peruntukan terutama yang berkaitan pembangunan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak pada masa ini adalah hampir sama.

Artikel Berkaitan:

Mencelah perbahasan Bung Mokhtar, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) meminta pandangan beliau sama ada bersetuju wakil rakyat perlu diberi peluang untuk menentukan projek pembangunan di kawasan masing-masing.

"Wakil rakyat ni yang dekat dengan rakyat, dia tahu apa yang rakyat susah... beri peluang wakil rakyat di Sabah dan Sarawak untuk menentukan projek seperti pembangunan rumah, bekalan air dan elektrik dan kerajaan pertimbangkan berdasarkan cadangan wakil rakyat, apa pandangan Kinabatangan (Bung Mokhtar)?" soal Shamsul Anuar.

Pandangan itu disambut baik oleh Bung Mokhtar yang berkata: "Lenggong (Shamsul Anuar) ni memang bijaksana, dia boleh melihat perkara ini secara saksama sebab yang turun padang adalah wakil rakyat, bukan kakitangan kerajaan. Kita nampak apa masalah rakyat, saya setuju dengan Lenggong."

Sesi perbahasan pada Selasa disertai 21 ahli Parlimen.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. - Bernama