Polis cari pemandu Toyota Corolla larikan diri selepas langgar Alza

Kemalangan kecil berlaku antara Perodua Alza dan Toyota Corolla di Bukit Jambul pada jam 8.48 pagi Isnin.
Kemalangan kecil berlaku antara Perodua Alza dan Toyota Corolla di Bukit Jambul pada jam 8.48 pagi Isnin.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis sedang mengesan seorang pemandu kereta jenis Toyota Corolla yang dipercayai melarikan diri selepas melanggar belakang sebuah kenderaan di Bukit Jambul dalam kejadian pada Isnin.

Kejadian itu kini tular selepas klip video berkenaan dimuat naik oleh pemandu lain di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada warganet.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pemandu kereta tersebut didapati telah melarikan diri selepas melanggar belakang sebuah kenderaan jenis Perodua Alza dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

Menurutnya, hasil semakan mendapati kejadian tersebut berlaku di Persiaran Bukit Jambul 5, kira-kira jam 8.48 pagi melibatkan dua buah kereta.

"Susulan daripada kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat oleh pemilik Perodua Alza di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Polis Daerah Timur Laut pada Isnin.

"Hasil siasatan mendapati berlaku kemalangan kecil antara kereta jenis Toyota Corolla dengan Perodua Alza.

"Kemalangan berpunca apabila kenderaan di hadapan berhenti di simpang untuk sedia membelok, namun pemandu kereta Toyota Corolla tersebut tidak mengikut giliran dan memotong ke kanan (garisan berkembar dan melawan arus)," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Soffian berkata, pemandu Toyota Corolla itu juga telah mencelah masuk semula ke laluan asal (kiri) apabila terdapat kenderaan lain datang dari arah bertentangan.

Artikel Berkaitan:

"Akibat daripada tindakan pemandu tersebut, dia telah melanggar bahagian 'bumper' belakang Perodua Alza yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan.

"Pemandu kereta Perodua Alza telah turun dan cuba hendak berbincang, namun pemandu kereta Toyota Corolla berkenaan bukan sahaja enggan memberi kerjasama malah terus melarikan diri dengan memecut laju kenderaannya," katanya.

Katanya, semakan lanjut mendapati kereta Perodua Alza berkenaan mengalami kerosakan kecil di bahagian 'bumper' belakang sebelah kanan, manakala pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Sehingga kini, pemandu atau pemilik berdaftar kenderaan Toyota Corolla berkenaan masih belum tampil membuat laporan polis.

"Usaha mengesan pemandu dan pemilik kenderaan sedang dijalankan. Kes disiasat mengikut kaedah-kaedah lalulintas 1959," katanya.