Bawa usul persempadanan semula ke sidang DUN: PH Johor

Aminolhuda Hassan
Aminolhuda Hassan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) Johor mencadangkan agar kerajaan negeri membawa usul persempadanan semula Pilihan Raya Umum (PRU) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan ini.

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, perkara itu dilihat sebagai keperluan berikutan trend pengundian di negara yang kini sudah jauh berbeza berbanding pilihan raya sebelum ini.

"Apabila Undi 18 dilaksanakan pada Februari depan, jumlah pengundi akan mencatatkan peningkatan mendadak sehingga lebih 200,000 pengundi di beberapa kawasan seperti di Tebrau, Pasir Gudang, Iskandar Puteri serta daerah lain seperti di Kluang dan Kulai.

"Jadi, apa yang perlu dilakukan adalah dipecah kepada dua Parlimen serta pertambahan DUN. Ini bagi memudahkan wakil rakyat untuk mengambil perhatian dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat DUN Stulang, di sini pada Selasa.

Aminolhuda berkata, pihaknya mahu kerajaan negeri membawa usul itu ke sidang DUN bagi membolehkan ia disokong sekali gus membuka peluang pentadbiran di Johor membawanya ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, pertambahan pengundi kini telah mencatatkan peningkatan mendadak melebihi yang sepatutnya dengan kira-kira 120,000 pengundi di kawasan Parlimen.

“Kita jangkakan persempadanan semula bagi kawasan Parlimen mungkin tidak sempat dilaksanakan namun bagi DUN pula mungkin berbeza. Justeru, jika perkara itu disuarakan oleh Menteri Besar Johor dan kerajaan Persekutuan melihat perkara itu sebagai keperluan, ia boleh diterima.

“Sekiranya di peringkat Parlimen tidak lulus manakala di peringkat negeri pula lulus, mungkin satu kawasan Parlimen diberi empat DUN, tiada masalah. Seperti di Melaka, satu kawasan Parlimen mempunyai lima DUN," katanya.

Artikel Berkaitan: