3 pelanggan merokok di kedai makan dikompaun

Dr Nor Azimi bersama pegawainya melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kedai makan pada Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Akta 342 dan PPKHT 2004 sekitar Indera Mahkota, di sini pada Selasa.
Dr Nor Azimi bersama pegawainya melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kedai makan pada Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Akta 342 dan PPKHT 2004 sekitar Indera Mahkota, di sini pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN- Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mengeluarkan kompaun ke atas tiga pelanggan sebuah restoran di Indera Mahkota di sini selepas didapati merokok di dalam premis berkenaan pada Selasa.

Pengarahnya, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, ketiga-tiga pelanggan berusia 21 hingga 75 tahun itu didapati ingkar arahan larangan merokok di tempat awam (kedai makan).

Menurutnya, kompaun RM250 dikeluarkan kepada ketiga-tiga individu tersebut di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004).

"Pada masa sama, kompaun dikeluarkan terhadap dua lagi individu di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana gagal mengimbas kod MySejahtera dan berada di kedai makan tanpa vaksin lengkap," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Akta 342 dan PPKHT 2004 di sini pada Selasa.

Dr Nor Azimi berkata, dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 1,314 notis kesalahan telah dikeluarkan di bawah PPKHT 2004 dengan nilai kompaun RM328,500.

"Daripada jumlah itu, 643 notis atau 48.9 peratus bagi kesalahan merokok di tempat makan, 292 notis (22.2 peratus) merokok di kompleks beli-belah dan 85 notis (6.5 peratus) dikeluarkan atas kesalahan merokok di hentian Rehat dan Rawat (RnR).

"Daerah Maran mencatatkan jumlah notis tertinggi dikeluarkan dengan 298 notis diikuti Bentong (241), Bera (152), Rompin (114) dan Kuantan (100)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Dr Nor Azimi berkata, bagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, sebanyak 1,746 kompaun dikeluarkan dalam tempoh sama dengan nilai kompaun RM2.9 juta.

"Kesalahan gagal menggunakan aplikasi MySejahtera merekodkan kes tertinggi dengan 744 kes atau 42.6 peratus diikuti gagal memakai pelitup muka sebanyak 517 kes (29.6 peratus).

"Lima daerah dengan pengeluaran kompaun tertinggi iaitu Kuantan (521), Temerloh (284), Bentong (216), Rompin (193) dan Bera (121)," katanya.

Tambah beliau, dalam tempoh sama, sebanyak 1,478 premis ditutup bagi aktiviti pencegahan dan pengawalan Covid-19 di negeri ini.

"Pahang merupakan negeri tertinggi dari segi pengeluaran kompaun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Makanan 1983.

"Justeru operasi penguatkuasaan terus ditingkatkan tahun ini bagi mencapai sasaran ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, jumlah dan nilai kompaun yang tinggi bukan satu kebanggaan.

"Langkah itu adalah jalan terakhir bagi mendidik dan menyedarkan masyarakat tentang tanggungjawab untuk sentiasa mematuhi SOP Covid-19 dan arahan larangan merokok," katanya.

Beliau berkata, KKM menggesa kerjasama dan komitmen semua lapisan masyarakat agar mainkan peranan sewajarnya dalam memastikan peraturan-peraturan di bawah kesihatan awam sentiasa dipatuhi.