Lepas kerjaya sebagai doktor, ceburi dunia politik

Dr Mohd Aleef. - Foto Bernama
Dr Mohd Aleef. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Minat mendalam terhadap dunia politik dan niat menabur bakti kepada masyarakat dan negeri Melaka mendorong calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang Dr Mohd Aleef Yusof melepaskan kerjaya profesionalnya sebagai seorang doktor.

Calon muda berusia 35 tahun itu yang dipertaruhkan Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini berkata, minatnya untuk menabur bakti kepada rakyat dan negeri Melaka menerusi platform politik telah berputik sejak dibangku sekolah dan kian subur ketika menuntut di universiti.

Bagaimanapun cita-cita anak jati Melaka itu untuk terjun ke dunia politik pada usia lebih awal tertangguh seketika disebabkan terikat kontrak pekerjaan selain demi mencapai cita-cita diidamkannya untuk menjadi seorang doktor.

"PRN Melaka merupakan gelanggang pertama untuk saya berjinak-jinak secara serius (dengan dunia politik) namun saya yakin mampu menggalas amanah ini dengan meletakkan kebajikan rakyat sebagai fokus utama sekiranya saya mendapat mandat nanti.

"Selain itu, saya bertekad menjadikan platform politik ini sebagai saluran membanteras elemen rasuah dalam pengurusan dan pentadbiran dalam kerajaan," katanya kepada Bernama di sini.

Mohd Aleef yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan dari Management and Science University (MSU) pernah berkhidmat sebagai pegawai perubatan kerajaan sebelum berhijrah ke hospital swasta di Melaka.

Menurut Mohd Aleef beliau berasa teruja dengan sikap keterbukaan PN membuka ruang lebih ramai calon muda dan profesional seperti beliau untuk bertanding dalam PRN Melaka dan pendekatan itu mampu menarik minat golongan muda bersama parti itu.

Mohd Aleef bakal berhadapan saingan empat penjuru menentang Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (Barisan Nasional), Hasmorni Tamby (Pakatan Harapan) dan Mejar Jeneral (B) Datuk Mohd Zahar Hasim (Bebas).

Artikel Berkaitan:

Mengulas saingan dihadapinya di DUN Sungai Udang, beliau berkata walaupun masih mentah dalam politik namun yakin dengan keupayaannya dan PN yang diwakilinya kerana ia adalah sebuah parti yang semakin mendapat tempat di hati rakyat berbilang kaum di negara ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, kerusi DUN Sungai Udang dimenangi Datuk Seri Idris Haron dari BN dengan majoriti 2,229 undi menewaskan Mohd Lokman Abdul Gani (PKR).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala undi awal pada 16 Nov.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, mempunyai seramai 495,195 pengundi berdaftar dengan 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan 51.43 peratus, wanita. - Bernama