X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

Warga emas reda diuji empat anak OKU

Hanya Tuhan yang tahu keperitan hidup terpaksa dilalui warga emas Rosanani Salleh (berdiri tengah) apabila empat daripada lapan anaknya lumpuh seluruh badan akibat penyakit saraf. - Foto Bernama
A
A

KEMAMAN - Hanya tuhan yang tahu keperitan hidup terpaksa dilalui warga emas Rosanani Salleh apabila empat daripada lapan anaknya lumpuh seluruh badan akibat penyakit saraf.

Dengan kudratnya yang tidak seberapa, ibu tunggal berusia 62 tahun itu cekal menguruskan anak keduanya Mohd Amerizam Razali, 42; anak kelima Mohd Marsudi, 36; dan anak keenam Mohd Aismuddin, 33; yang memerlukan penjagaan rapi.

Anak sulungnya Rozanariah, 43, yang turut menghidap penyakit sama tinggal berasingan memandangkan beliau telah berkahwin dan dijaga oleh suami serta tujuh anaknya yang berumur antara 20 hingga lima tahun.

Rosanani yang bekerja sebagai penjual lemang berkata, beliau tidak menyangka akan ditimpa nasib sedemikian memandangkan keempat-empat anaknya itu secara tiba-tiba diserang penyakit saraf ketika masing-masing telah berusia antara 20-an hingga 30-an.

“Sebelum ini mereka normal dan menjalani kehidupan seperti biasa. Masing-masing telah bekerja namun tiba-tiba sakit. Tiada simptom yang jelas. Malah ada daripada mereka tiba-tiba bangun tidur tidak boleh berjalan dan lama-kelamaan lumpuh seluruh badan,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Teluk Kalung, di sini.

Episod duka keluarga Rosanani bermula apabila arwah suaminya, Razali Othman yang meninggal dunia pada 2009 turut menghidap penyakit saraf semasa berusia 20-an.

Rosanani berkata, dengan pendapatan menjual lemang hanya sekitar RM1,000 sebulan menyebabkan beliau agak tertekan kerana pengurusan dan pengubatan anak-anaknya yang kurang upaya itu memerlukan belanja yang tinggi.

 KASIH IBU... Rosanani (kiri) menyuap makanan kepada anak-anaknya merupakan OKU di Kampung Teluk Kalung, Kemaman. - Foto Bernama
KASIH IBU... Rosanani (kiri) menyuap makanan kepada anak-anaknya merupakan OKU di Kampung Teluk Kalung, Kemaman. - Foto Bernama

“Mereka semua dapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 seorang, namun jumlah tersebut tidak cukup memandangkan kos membeli lampin pakai buang dan ubat-ubatan sahaja melebihi RM1,000.

“Saya pun tidak dapat jual lemang dengan lebih banyak kerana hanya sekitar 11 pagi baru saya boleh ke gerai untuk persiapan membakar lemang dan berniaga. Pada sebelah pagi, saya perlu uruskan anak-anak terlebih dahulu,” katanya sambil memberitahu pergerakan anak-anaknya itu bergantung sepenuhnya kepada penggunaan kerusi roda.

Malah katanya, empat anaknya yang lain hanya bekerja biasa dengan pendapatan tidak seberapa dan tidak dapat banyak membantunya.

Rosanani berkata, walaupun pakar perubatan di hospital memberitahu anak-anaknya itu tiada harapan untuk sembuh namun beliau sentiasa berdoa semoga satu hari nanti mereka dapat berjalan dan menguruskan diri sendiri.

“Siang malam saya berdoa semoga sekurang-kurangnya mereka boleh berjalan. Saya sangat risau kalau saya sudah tiada nanti siapa akan menjaga mereka,” katanya.

Sambil menahan air mata, wanita tabah itu berkata, beliau sudah biasa ‘memekakkan’ telinga menghadapi pelbagai tohmahan masyarakat sekeliling mengenai nasib keluarganya itu. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!