Kehadiran murid tidak lagi secara berperingkat: KPM

Kehadiran murid ke sekolah di bawah institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak lagi dilaksanakan secara berperingkat. - Gambar hiasan
Kehadiran murid ke sekolah di bawah institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak lagi dilaksanakan secara berperingkat. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kehadiran murid ke sekolah di bawah institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak lagi dilaksanakan secara berperingkat.

KPM dalam kenyataan memaklumkan, bagaimanapun pengoperasian sekolah masih mengekalkan kaedah penggiliran.

"KPM sentiasa memantau dan meneliti keadaan semasa pengoperasian sekolah secara bersemuka semenjak dibuka semula bermula 3 Oktober lalu," menurut kenyataan itu pada Selasa.

Kata KPM, dapatan daripada pemantauan dan penelitian menunjukkan bahawa pengoperasian sekolah berjalan dengan lancar serta teratur mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

"Institusi pendidikan bawah KPM dalam merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat," tambah kenyataan tersebut.

Susulan peralihan fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Kedah kementerian itu berkata, kemasukan murid tahun satu hingga tahun enam di sekolah rendah serta kelas peralihan dan tingkatan satu hingga tingkatan empat di sekolah menengah adalah pada 21 November ini.

Bagi Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah yang turut beralih ke fasa empat, pengoperasian bermula 22 November.

"Kehadiran murid dalam kumpulan tersebut di sekolah harian adalah mengikut kaedah penggiliran manakala kehadiran murid di sekolah asrama sepenuhnya adalah tanpa penggiliran," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut KPM, perincian mengenai kemasukan murid sekolah asrama sepenuhnya akan dimaklumkan oleh pihak sekolah kepada ibu bapa dan penjaga.