BN pikul tugasan berat jalan kempen ikut SOP

Mohamad dalam program ‘Gegau Melaka’ yang disiarkan secara langsung pada Isnin
Mohamad dalam program ‘Gegau Melaka’ yang disiarkan secara langsung pada Isnin
A
A
A

SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) memikul tugasan berat dalam menjalankan kempen yang tersusun dan teratur mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, BN akan cuba berjumpa dengan pengundi-pengundi mereka melalui medium yang dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Mulai pagi tadi selepas penamaan calon sehinggalah jam 12 tengah malam pada 19 November nanti, kita masuk pada waktu berkempen yang dibenarkan oleh SPR.

“Maka BN dan petugas-petugas BN mempunyai tugasan yang berat untuk kita sama-sama menjalankan kempen yang tersusun dan teratur mengikut SOP yang telah ditentukan.

“Kita cuba untuk berjumpa dengan pengundi-pengundi kita sama ada secara maya atau secara yang dibolehkan agar mesej kita untuk merayu kepada semua pengundi di Melaka ini sampai dan memberikan kepercayaan kepada BN untuk mentadbir negeri Melaka selepas 20 November nanti insya-ALLAH,” katanya pada program ‘Gegau Melaka’ yang disiarkan secara langsung pada Isnin.

Pada Isnin, SPR berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 bagi PRN Melaka menetapkan bahawa calon atau jentera pilihan raya dibenarkan untuk memasang gegantung di dalam kawasan pilihan raya, mengedar risalah bagi tujuan berkempen di peti-peti surat penduduk sekitar dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

SOP khas berkenaan telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Ahad selaras dengan Peraturan 16, Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

Artikel Berkaitan: