Kuala Langat bakal jadi pusat industri pembuatan kertas

Amirudin ketika sidang media selepas Perhimpunan Penjawat Awam bersama Menteri Besar Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini pada Isnin.
Amirudin ketika sidang media selepas Perhimpunan Penjawat Awam bersama Menteri Besar Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kuala Langat bakal menjadi daerah yang menempatkan tiga pemain industri dalam pembuatan kertas di rantau Asia Pasifik.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia melibatkan jumlah pelaburan sekitar RM4 bilion secara berperingkat daripada dua syarikat negara China dan sebuah Jepun yang bertapak di daerah tersebut sejak tahun 2018.

Amirudin berkata, projek-projek melibatkan industri tersebut dijangka dapat dilihat menjelang hujung tahun ini atau suku pertama tahun hadapan.

Melalui usaha ini kata beliau, ia mampu membuka peluang pekerjaan, sekali gus meletakkan Selangor di mata dunia.

"Kita bangga kerana tiga pemain industi dari Jepun dan China telah bertapak (di Kuala Langat).

"Menjelang akhir tahun ini kita akan dapat lihat apa rancangan mereka atau bagaimana projek-projek tersebut memberikan peluang pekerjaan dan meletakkan kita di peta dunia," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Penjawat Awam bersama Menteri Besar Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini pada Isnin.

Beliau tidak menafikan banyak perkara tertangguh pada fasa perintah kawalan pergerakan (PKP), bagaimanapun industri pembuatan kertas mula bergerak rancak dan mendapat permintaan tinggi.

Amirudin berharap pembukaan semula ekonomi dapat mempercepatkan proses pembangunan dalam sektor industri tersebut.

Artikel Berkaitan: