Pani puri 'lubuk' rezeki siswazah Usuluddin

Makanan tradisi popular di India iaitu pani puri menjadi 'lubuk' rezeki kepada Nasirah.
Makanan tradisi popular di India iaitu pani puri menjadi 'lubuk' rezeki kepada Nasirah.
A
A
A

KOTA BHARU - Makanan tradisi popular di India iaitu pani puri menjadi 'lubuk' rezeki kepada siswazah lulusan Ijazah Usuluddin dari Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS), Nasirah Ishak Khan, 28, dari Pasir Tumbuh di sini.

Bukan itu sahaja, ibu kepada tiga anak ini tidak pernah menyangka makanan kegemaran keluarganya turut memberi peluang pekerjaan kepada suri rumah lain dan pelajar menambah pendapatan.

Nasirah berkata, oleh kerana dia berasal daripada keluarga kacukan Pakistan, pani puri merupakan makanan yang sentiasa dinikmati mereka sekeluarga.

"Setiap kali memasak dan menikmati pani puri saya akan memuatnaikkannya di laman sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok secara suka-suka.

"Bermula dari situ kawan-kawan dan kenalan menyatakan minat untuk mencuba dan menikmati makanan yang sering muncul di dalam drama atau filem Hindustan serta Tamil ini," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, disebabkan permintaan tinggi yang diterima, dia membuat keputusan untuk mengambil tempahan pada skala kecil kerana tidak mahu mengecewakan rakan-rakan.

Nasirah mengakui terkejut apabila maklum balas yang diberikan oleh rakan-rakan membuatkannya tidak 'menang' tangan untuk menyiapkan tempahan.

Artikel Berkaitan:

Pani puri
Pani puri

Dia berkata, setiap hari dia perlu menyiapkan 250 set pani puri untuk dipasarkan ke seluruh Kelantan melalui agen-agen yang telah dilantik.

Katanya, rasa pani puri yang manis, masam dan pedas memang boleh buat ketagih kepada mereka yang pernah merasainya.

"Bukan itu sahaja, minat terhadap Bollywood juga banyak mempengaruhi orang ramai untuk cuba menikmati makanan jalanan di India ini.

"Saya menjualnya dengan harga RM10 untuk 15 biji dan resipi ini merupakan turun temurun daripada keluarga ayah di Pakistan.

"Paling menggembirakan apabila pelanggan yang pernah menikmati pani puri memberi respons bahawa rasa yang saya buat ini sama seperti yang mereka makan di India," katanya.

Menurutnya, pani puri adalah sejenis keropok berbentuk bulat yang dimakan bersama alooo masala (ubi kentang); chutney (sos diperbuat daripada kurma dan asam jawa), theeka paani (kuah campuran pudina dan lada), boondi, lassi (yogurt), bhujia sev (maruku ubi kentang) dan kacang kuda.