X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Polis nafi tak bertindak kes wanita mengadu keselamatan terancam

Mior Faridalathrash
A
A

IPOH - Polis menafikan dakwaan seorang wanita menerusi sebuah video tular di aplikasi TikTok pada Sabtu berhubung tiada tindakan diambil terhadap aduan ancaman keselamatan yang dihadapinya.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, wanita terbabit mendakwa keselamatannya terancam yang berpunca daripada masalah rumah tangga yang dihadapinya.

"Semakan mendapati pengadu terbabit pernah menghubungi Balai Polis Kampung Rapat kira-kira jam 7.15 pagi pada Jumaat yang membuat aduan rasa curiga terhadap sebuah kenderaan yang berlegar-legar di kawasan rumahnya.

"Polis yang tiba di lokasi telah membuat pemantauan dan pemeriksaan namun, tiada kenderaan mahupun individu yang mencurigakan seperti aduan yang dilakukan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, hasil semakan mendapati polis menerima enam laporan polis mengenai masalah rumah tangga dan satu laporan berkaitan peranti komunikasi digodam daripada wanita tersebut.

"Kesemua laporan telah diambil tindakan sewajarnya. Bagi memastikan keselamatan pengadu, polis telah menghantar pegawai daripada Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Ipoh untuk membantu.

"Bagaimanapun, pengadu enggan memberi kerjasama kepada pihak polis dan seterusnya polis telah menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengadakan lawatan kebajikan bersama ke rumah pengadu," katanya.

Mior Faridalathrash berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini.

"Komen-komen negatif yang dilemparkan pengadu melalui video tersebut yang menyatakan polis tidak mengambil tindakan adalah tidak tepat dan tidak adil kepada pihak polis.

"Masyarakat juga dinasihatkan untuk tidak menularkan maklumat yang tidak sahih kepada umum serta disarankan untuk melakukan laporan aduan di balai polis berhampiran atau mengikut undang-undang yang diwartakan," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!