Bekas Ketua Menteri Melaka dicalonkan semula di DUN Lendu

Sulaiman
Sulaiman
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dicalonkan semula bagi mewakili Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau merupakan salah seorang daripada empat penyandang yang dikekalkan termasuk Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia), Datuk Zaidi Attan (Serkam) dan Datuk Rahmad Mariman (Ayer Molek).

Sulaiman melahirkan kesyukuran dengan pencalonannya dan mengharapkan semua calon memberikan komitmen terbaik untuk parti dan rakyat.

"Saya mohon kepada semua calon-calon yang baharu ini, kita ada agenda dan banyak perkara mesti kita lakukan. Semua calon-calon muka baharu terutamanya, saya mengharapkan mereka dapat turun ke bawah berjumpa pengundi.

"Maklumkan kepada pengundi-pengundi dan bekerjalah dengan baik. Ingat, kita ada tugas yang sungguh mencabar kerana banyak agenda-agenda sebelum ini tertangguh.

"Semua calon-calon baharu perlu bekerja dengan kuat dan banyak perkara yang mesti kita laksanakan terutama demi untuk kesihatan rakyat," katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang akhbar Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRN Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan di Auditorium UMNO, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.

Turut hadir ialah Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan.

BN akan bertanding di kesemua 28 kerusi DUN dengan 20 daripadanya akan ditandingi UMNO, selain tujuh MCA dan satu MIC.

Artikel Berkaitan:

Antara muka baharu yang ditampilkan pada PRN Melaka ialah Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau lebih dikenali sebagai Dira.