PRN Melaka: BN bergerak solo, tanding 28 kerusi DUN

Mohamad.- Foto fail Bernama
Mohamad.- Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR- [DIKEMAS KINI] Barisan Nasional (BN) membuat keputusan untuk bergerak secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini dengan bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Daripada jumlah itu, sebanyak 20 kerusi akan ditandingi UMNO, selain tujuh kerusi untuk MCA dan satu kerusi diwakili MIC dengan penampilan sebanyak 86 peratus muka baharu.

Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRN Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kesemua parti komponen BN juga bersetuju untuk mengambil bahagian dalam PRN Melaka kali ini sebagai satu ikatan dan mewakili kemajmukan masyarakat.

"Kita akan turun bersendirian dalam PRN Melaka kali ini dan bertanding di kesemua 28 kerusi.

"Pembahagian kerusi kita telah buat dengan teliti, cermat dan dengan persetujuan walaupun ada bertengkar-tengkar. Bergaduh-gaduh ini biasalah. Nak bagi kerusi ini, ada orang tak nak ada orang nak, macam-macam tetapi inilah keunikan BN dan akhirnya kita bersetuju.

"Maka UMNO akan meletakkan calon di 20 kerusi DUN. MCA akan meletakkan tujuh calon dan MIC mengekalkan satu kerusi," katanya pada sidang akhbar di Auditorium UMNO, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.

Turut hadir ialah Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, tema untuk PRN Melaka yang dibawakan BN ialah 'Kestabilan Demi Kesejahteraan' kerana melihat perlunya kerajaan stabil selepas pilihan raya demi kepentingan rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Calon-calon yang kita tampilkan kali ini semuanya berwibawa, dengan kebanyakannya berusia 50 tahun dan ke bawah, terdiri daripada pelbagai profesion termasuk doktor perubatan, peguam dan jurutera.

"Kita campurkan orang yang berpengalaman dan orang muda, dengan harapan kerajaan negeri Melaka yang akan dapat kita tubuhkan selepas PRN ini nanti dapat menjadi kerajaan yang boleh mengurus dengan baik.

"Dari situlah kita akan dapat memberikan kemakmuran kepada rakyat mereka, Insya-ALLAH," ujar beliau.