Muktamar Pas ke-67: Perpaduan UMNO, Bersatu antara dibincangkan

Takiyuddin (dua dari kiri) ketika meninjau persiapan Muktamar Pas ke-67 di Duyong Marina & Resort, Kuala Terengganu pada Khamis.
Takiyuddin (dua dari kiri) ketika meninjau persiapan Muktamar Pas ke-67 di Duyong Marina & Resort, Kuala Terengganu pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Perpaduan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) antara agenda yang akan dibincangkan dalam Muktamar Tahunan Pas ke-67 secara hibrid di sini pada Sabtu dan Ahad.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, agenda perpaduan merupakan antara inti pati di dalam ucapan dasar yang akan dibincangkan bertepatan tema muktamar tahun ini iaitu 'Islam Menyatukan Ummah'.

Beliau berkata, agenda perpaduan ummah yang dibawakan Pas bersifat meluas meliputi orang Melayu Islam serta parti-parti yang mempunyai aspirasi sama.

"Kita bukan sahaja hendak membincangkan perkara itu (dalam muktamar) malah kita memainkan peranan ke arah itu dan dibuktikan melalui pelan tindakan kita.

"Sehingga kini Pas masih berusaha menyatupadukan perpaduan ummah. Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pun kita memainkan peranan utama untuk menyatukan ummah kerana ia merupakan agenda Presiden parti dan didokong oleh semua kepimpinan," katanya pada sidang akhbar sempena Muktamar Pas ke-67 di Duyong Marina & Resort di sini pada Khamis.

Takiyuddin berkata, Pas bagaimanapun tidak mengundang rakan politik daripada parti lain untuk hadir pada muktamar kali ini memandangkan ia diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat kerana masih dalam tempoh pandemik Covid-19.

"Perjalanan muktamar kali ini tidak seperti biasa di mana pada tahun ini kita tidak menjemput rakan-rakan politik lain dan hanya menjemput individu seperti veteran Pas," ujar beliau.

Mengulas mengenai pemilihan parti pada muktamar itu, Takiyuddin berkata, dua jawatan utama iaitu Presiden dan Timbalan Presiden yang disandang Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man diputuskan untuk tidak dipertandingkan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, empat calon akan bertanding bagi merebut jawatan Naib Presiden.

"Antara nama yang disenaraikan layak bertanding jawatan Naib Presiden terdiri daripada tiga penyandang iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Senator Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah serta Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

"Kita turut menerima sebanyak 36 pencalonan yang akan bertanding bagi mengisi 18 jawatan bagi Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat," jelasnya.

Takiyuddin berkata, Muktamar Pas ke-67 akan disertai seramai 1,546 perwakilan dengan 694 daripadanya akan mengikuti secara langsung dari Duyong Marina & Resort di Kuala Terengganu, manakala baki seramai 852 orang akan mengikutinya dari negeri masing-masing.

Tambah beliau, para perwakilan dijangka akan membawa isu-isu nasional, antaranya kesihatan, pemulihan ekonomi, aspek sosial, pelan pendidikan selain isu antarabangsa.