Pelanggan bayar tambah nilai guna wang palsu

Gambar hiasan.- Foto 123RF
Gambar hiasan.- Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Seorang pembantu kedai kerugian RM200 selepas menerima dua keping wang kertas RM100 dipercayai palsu daripada seorang pelanggan pada Isnin lalu.

Mangsa yang berusia 23 tahun adalah pekerja sebuah kedai serbaneka di Temerloh didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali mahu membuat pembayaran tambah nilai sebanyak RM296.95 bagi aplikasi permainan secara dalam talian.

Ketua Siasatan Jenayah Komersil Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menerima wang kertas sebanyak RM300 daripada suspek bagi tujuan itu.

"Pada Selasa, mangsa telah dimaklumkan oleh rakan sekerjanya iaitu Lokman bahawa terdapat dua keping wang kertas RM100 adalah palsu, setelah disemak menggunakan mesin 'money detector'.

"Wang tersebut diterima sewaktu syif mangsa bekerja. Mangsa kemudian mengesyaki wang palsu itu diterima daripada suspek ketika membuat pembayaran tambah nilai tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Wazir berkata, susulan itu mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel Berkaitan: