X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 19 Januari 2022

Kelar leher anak sendiri kerana ubah saluran televisyen

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

HULU SELANGOR - Seorang lelaki warga emas tergamak mengelar leher anaknya sendiri menggunakan sebilah pisau hanya kerana mangsa mengubah saluran televisyen di kediaman mereka di Bernam Jaya, Hulu Bernam di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Arsad Kamaruddin berkata, suspek berusia 71 tahun itu mengaku berlaku pertengkaran antara dia dan anak lelakinya berusia 37 tahun itu pada pagi hari kejadian berpunca daripada mangsa yang menukar saluran televisyen.

Menurutnya, dalam pertengkaran tersebut, suspek bertindak menolak mangsa sehingga terkena dinding dan jatuh ke lantai sebelum bertindak mengambil pisau di dapur dan mengelar leher anaknya sebanyak tiga kali.

"Siasatan polis mendapati leher mangsa terdapat kesan kelar yang dalam dipercayai bukan berpunca daripada bunuh diri tetapi dilakukan pihak ketiga," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Polis merampas pisau yang dipercayai digunakan oleh suspek.
Polis merampas pisau yang dipercayai digunakan oleh suspek.

Beliau berkata, sebelum itu suspek mendakwa kononnya dia telah pergi ke kedai runcit sekitar jam 12 tengah hari dan sejurus pulang, dia menemui anak lelakinya itu berlumuran darah di ruang tamu rumah berkenaan.

Katanya, suspek turut meminta jirannya menghubungi polis bagi memaklumkan berhubung kecederaan di bahagian leher anaknya itu.

Sementara itu, Arsad berkata, polis berjaya merampas pisau yang digunakan suspek untuk mengelar mangsa dalam serbuan di rumah mereka, termasuk baju kemeja lengan pendek dan seluar pendek.

"Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ujian saringan air kencing terhadapnya didapati negatif dadah.

"Dengan tertangkapnya suspek, polis percaya dapat menyelesaikan kes ini," ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!