Sabah FC kesal dakwaan sebuah portal

Kenyataan media dimuatnaik Sabah FC malam ini.
Kenyataan media dimuatnaik Sabah FC malam ini.
A
A
A

SABAH FC menyangkal dakwaan berlaku salah urus tadbir berkaitan urusniaga perpindahan pemain The Rhinos seperti didakwa sebuah portal tempatan di negeri itu.

Sebaliknya pengurusan kelab Liga Super tersebut memandang serius dakwaan itu dan meminta pihak berkenaan tampil mengemukakan bukti kepada pihak berwajib supaya siasatan rasmi dapat dilakukan terhadap kelab tersebut.

"Setakat ini semua urusniaga perpindahan pemain (pemain import) mempunyai dokumen rasmi dengan mengikut prosedur ditetapkan serta bukan dijalankan secara sesuka hati.

"Tiada isu mark up seperti yang dilaporkan portal online Borneo Today. Sabah FC cuma membayar RM30,000 untuk kos logistik penghantaran LED ke Kota Kinabalu dan ia merupakan sumbangan daripada salah satu penaja Sabah FC untuk musim ini.

"Bagi sistem catapult pula hanya RM65,000 dibelanjakan kelab dan ia dibeli secara terus dari Australia tanpa membabitkan mana-mana pihak atau orang tengah (ejen) seperti yang dinyatakan," kata pengurusan Sabah FC dalam satu kenyataan pada Rabu.

Respon Sabah FC itu berikutan penyiaran artikel di sebuah portal tempatan 'Siasat salah laku dan pecah amanah dalam Sabah FC.

Pada masa sama, pengurusan Sabah FC akan membuat laporan polis berhubung dakwaan itu yang disifatkan sebagai cubaan menjejaskan imej The Rhinos.

"Pihak pengurusan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya portal online tersebut atau mana-mana pihak secara terus menerus menabur fitnah yang tidak berasas terhadap Sabah FC.

Artikel Berkaitan:

"Sabah FC percaya segala tuduhan tidak berasas ini adalah dengan niat untuk menjatuhkan imej serta kerja keras yang dibuat pihak pengurusan kelab selama ini.

"Fokus utama kelab adalah untuk meletakkan Sabah FC di landasan yang betul sama ada di dalam mahupun di luar padang," ujarnya.