Kerajaan digesa ambil langkah proaktif bina semula simpanan persaraan

Norshida
Norshida
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa agar mengambil langkah proaktif segera bagi membina semula simpanan persaraan khususnya untuk golongan orang Melayu.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata, ia berikutan golongan berkenaan tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menyara kehidupan pada penghujung usia memandangkan bantuan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah digunakan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

“Kita bersetuju dengan pelbagai inisiatif dalam Bajet 2022 untuk melanjutkan kadar caruman berkanun pada sembilan peratus sehingga pertengahan 2022, ia dijangka memberi kelegaan seketika kepada ahli tetapi itu adalah bantuan jangka pendek dan masih bukan inisiatif bagi meningkatkan bekalan sara hidup pada waktu usia tua.

“Kerajaan perlu waspada dengan inisiatif jangka panjang jika tidak diperhalusi dengan baik, kerajaan akan terbeban dengan pembiayaan bilangan warga emas yang lebih ramai. Keadaan ini sekali gus akan mengganggu kemampuan fiskal kerajaan.

“Mereka dikhuatiri akan menjadi sebagai golongan miskin bandar. Jumlah ini akan meningkat menjelang 2030 kerana kegagalan menyimpan bekalan dana sara hidup sewaktu muda,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Norshida berkata, kerajaan perlu mengerakkan jentera bagi menjelaskan secara terperinci kepada rakyat tentang kepentingan simpanan bekalan masa depan.

Menurutnya, masyarakat tidak boleh alpa dengan bekalan mereka dan anak-anak pada masa depan meskipun pemulihan mata pencarian perlu diutamakan demi kelangsungan hidup.

“Pandemik Covid-19 diakui sememangnya menghimpit para pekerja, khususnya pencarum KWSP sehingga bukan sahaja ramai yang dipotong gaji malah diberhentikan kerja.

Artikel Berkaitan:

“KWSP juga mencatatkan kejatuhan ketara dalam peratusan ahli bagi mencapai simpanan asas (RM240,000 pada usia 55 tahun) daripada 36 peratus kepada 27 peratus susulan pengeluaran dibuat bagi menampung pendapatan semasa yang tidak stabil sepanjang pandemik ini tetapi sebenarnya bekalan simpanan persaraan telah dipakai dan perlu diganti semula pada kadar segera,” ujarnya.

Dalam pada itu, Norshida berkata, keputusan kerajaan memperluaskan had umur bagi i-sentif, pelepasan cukai sehingga RM4,000 untuk caruman KWSP secara sukarela khususnya kepada golongan pekerja gig dan sektor tidak formal adalah baik.

Bagaimanapun, katanya, ia perlu diperkasa dan diselaraskan penjelasan, kefahaman serta didikan kepada golongan tersebut.

“Jika tidak, ia tidak akan membawa manafat terhadap golongan ini,” jelasnya.