X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Harimau Malaya congak langkah

Skuad Harimau Malaya tampil selaku finalis pada kempen Piala Suzuki AFF 2020. FOTO:FAM
A
A

SKUAD Harimau Malaya harus memastikan enam mata maksimum berada dalam genggaman bagi mencerahkan peluang untuk layak ke peringkat separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.

Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, keputusan positif dalam dua aksi pertama itu amat penting bagi meningkatkan motivasi anak-anak buahnya sebelum berdepan penyandang juara, Vietnam dan Indonesia.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, pertemuan menentang Kemboja dan Laos tidak semudah yang dijangka memandangkan lawan mereka itu turut mempunyai kekuatan tersendiri.

“Ya... dua perlawanan awal menentang Kemboja dan Loas sangat penting buat skuad negara untuk dapat keputusan positif yang akan membantu motivasi setiap pemain sebelum bertemu Vietnam dan Indonesia.

“Namun, perlawanan awal bukan mudah untuk mana-mana pasukan kerana masing-masing mencari rentak. Jadi kami tidak boleh terlalu yakin apabila berdepan dengan Kemboja dan Laos nanti.

“Saya cuma berharap pemain-pemain kekal fokus bagi menghadapi setiap perlawanan peringkat kumpulan, tidak kira berdepan mana-mana pasukan dalam Kumpulan B nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Pada kempen Piala Suzuki AFF 2020, Malaysia bakal membuka tirai perlawanan menentang Kemboja yang kini menghuni ranking ke-170 dunia pada 6 Disember ini sebelum berdepan Laos (185) tiga hari kemudian.

Namun, tugas getir bakal ditempuhi Malaysia (155) dalam aksi ketiga Kumpulan B pada 12 Disember apabila dijadualkan Vietnam (98) sebelum menutup aksi Kumpulan B bertemu Indonesia (165) seminggu kemudian.

Dalam pada itu, Cheng Hoe tidak menganggap satu kelebihan buat Harimau Malaya apabila bakal beraksi dalam peringkat kumpulan di Stadium Bishan - venue yang menggunakan rumput asli.

“Saya tak rasa pemilihan Stadium Bishan sebagai venue aksi Kumpulan B memberikan banyak kelebihan kepada pasukan negara. Tetapi apa yang boleh saya katakan, pasukan negara akan dapat bermain dengan lebih selesa.

“Selain dapat bermain di gelanggang rumput sebenar, persamaan cuaca dan masa di Singapura juga tidak banyak beza. Saya rasa situasi itu turut akan bagi keselesaan kepada pemain. Jadi saya harap mereka boleh fokus dan bagi persembahan terbaik,” ujarnya.


JADUAL PERLAWANAN


KUMPULAN B

ISNIN (6 DISEMBER 2021)

Kemboja lwn Malaysia

Stdm Bishan, 5:30 ptg

KHAMIS (9 DISEMBER 2021)

Malaysia lwn Laos

Stdm Bishan, 5:30 ptg

AHAD (12 DISEMBER 2021)

Vietnam lwn Malaysia

Stdm Bishan, 8:30 mlm

AHAD (19 DISEMBER 2021)

Malaysia lwn Indonesia

Stdm Nasional, 8:30 mlm


SEPARUH AKHIR PERTAMA

ISNIN & SELASA (22 & 23 DISEMBER 2021)


SEPARUH AKHIR KEDUA

KHAMIS & JUMAAT (25 & 26 DISEMBER 2021)


FINAL PERTAMA

RABU (29 DISEMBER 2021)


FINAL KEDUA

SABTU (1 JANUARI 2022)


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!