Tindakan Pas guna logo PN tidak jejas hubungan dengan UMNO

Mohamad Ali (kanan) dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Zainal Abu pada Majlis Perasmian Sistem Pintar Kawalan Trafik (Spiktra-M) MBMB pada Selasa. - Foto Bernama
Mohamad Ali (kanan) dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Zainal Abu pada Majlis Perasmian Sistem Pintar Kawalan Trafik (Spiktra-M) MBMB pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Tindakan Pas menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini tidak menjejaskan hubungan parti itu dengan UMNO di bawah Muafakat Nasional.

Timbalan Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, parti itu sentiasa membuka ruang untuk bekerjasama dengan Pas ke arah mencari kebaikan, perdamaian dan kekuatan ummah bagi penyatuan umat Islam di negara ini.

"UMNO tidak akan memutuskan hubungan dengan Pas. Kita pun tidak tahu apa sebab Pas bertindak sedemikian tetapi kita yakin dan percaya keseluruhan ahli Pas mengharapkan supaya satu titik pertemuan yang baik akan berlaku antara UMNO dan Pas bagi membela umat Islam terutama orang Melayu di dalam negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sistem Pintar Kawalan Trafik Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah di sini pada Selasa.

Pada Isnin, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memaklumkan, parti itu akan menggunakan lambang PN bagi menghadapi PRN Melaka selepas perkara itu diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PasPusat.

Mengulas lanjut, Mohamad Ali yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu berkata, tindakan Pas untuk bersama Bersatu di bawah PN dikhuatiri membawa Pas ke arah kegagalan.

Bagaimanapun beliau berkata, UMNO Melaka tidak berdukacita dengan tindakan Pas kerana ia telah bersedia untuk menghadapi PRN Melaka bersama parti komponen lain dalam Barisan Nasional.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal 16 November.

Artikel Berkaitan:

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). - Bernama