SC mohon bantuan awam kesan Ricky Wong Shee Kai

Suruhanjaya Sekuriti memohon orang ramai membantu mengesan bekas Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Asia Media Group Bhd (AMGB), Ricky Wong Shee Kai.
Suruhanjaya Sekuriti memohon orang ramai membantu mengesan bekas Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Asia Media Group Bhd (AMGB), Ricky Wong Shee Kai.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Sekuriti (SC) memohon maklumat daripada orang ramai untuk mengesan bekas Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Asia Media Group Bhd (AMGB), Ricky Wong Shee Kai.

Kenyataan SC pada Selasa memaklumkan bahawa waran tangkap telah dikeluarkan terhadap Ricky oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 29 September 2021 bagi kesalahan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

“Ricky telah memberikan kenyataan palsu berkaitan pemerolehan AMGB sebanyak RM11.13 juta kepada Bursa Malaysia. Beliau telah bebas sejak Disember 2019,” menurut kenyataan itu.

Katanya, Ricky berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 369(b)B CMSA dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM3 juta dan penjara tidak melebihi 10 tahun.

Pada 30 September 2021, SC telah mendakwa bekas Akauntan Kumpulan AMGB, Ong Kar Kian di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi kesalahan sama.

Sebelum ini, pada 27 Disember 2019, waran tangkap dikeluarkan terhadap Ricky oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas beliau berulang kali gagal menghadirkan diri di hadapan pegawai penyiasat SC susulan notis mengikut Seksyen 32(3)(a) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Ricky diminta melaporkan perkara itu kepada SC di talian 017-360 8328/012-917 0738 /012-610 8275 atau e-mel kepada aduan@seccom.com.my. - Bernama

Artikel Berkaitan: