Edar arak, rokok tidak bercukai tiga lelaki ditahan

Suspek dan barangan rampasan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang untuk tindakan lanjut.
Suspek dan barangan rampasan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang untuk tindakan lanjut.
A
A
A

KLUANG - Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam menahan tiga lelaki tempatan dipercayai terbabit dalam kegiatan mengedar arak dan rokok tidak bercukai dalam operasi di sekitar daerah ini pada Isnin.

Pegawai Pemerintahnya, Superitendan Dimin Awang berkata, penahanan suspek berusia 20 hingga 33 tahun itu turut membawa kepada rampasan sebanyak 2,088 botol dan tin arak serta 54 karton rokok tidak bercukai.

Katanya, operasi membabitkan dua serbuan berasingan iaitu serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 9.30 pagi di Taman Delima, di sini.

“Menerusi serbuan pertama, kita telah menahan dua suspek berusia 26 dan 33 tahun dan menemui sejumlah barangan terlarang berupa 1,745 botol arak serta 54 karton rokok.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati barangan ini tidak memiliki cukai tetapi menggunakan pelekat kastam yang disyaki palsu,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Dimin berkata, penahanan kedua suspek itu kemudiannya membawa kepada satu lagi lokasi penyimpanan barangan terlarang itu di sebuah rumah kedai di Taman Saujana, di sini.

“Dalam serbuan ini, kita kemudiannya menahan seorang lagi suspek berusia 20 tahun bersama sejumlah arak tidak bercukai terdiri daripada 175 botol dan 168 tin.

“Polis percaya kesemua barangan rampasan daripada serbuan pertama dan kedua ini adalah bernilai kira-kira RM 127,318 yang kesemuanya di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, siasatan mendapati kesemua suspek yang ditahan ini dipercayai bertanggungjawab mengedar dan membekalkan arak dan rokok tidak bercukai di kedai-kedai runcit di sekitar daerah Kluang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.