AWER gesa Ketua Audit Negara segera audit projek ROL

Piarapakaran
Piarapakaran
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) menggesa Ketua Audit Negara supaya segera melakukan audit terhadap projek River Of Life (ROL) di Kuala Lumpur yang diuruskan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan.

Presiden AWER, S Piarapakaran berkata, audit itu perlu dilakukan berdasarkan objektif dan output asalnya bagi mengelakkan sebarang pembaziran.

“Kementerian Wilayah Persekutuan diperuntukkan RM10 juta pada 2022 untuk melaksanakan projek pemulihan sungai. Kementerian ini juga mengurus projek ROL dan kerja-kerja pembetungan berkaitan yang mempunyai kos keseluruhan projek berjumlah RM 7.7 bilion.

“Peruntukan bagi ROL dan projek pembetungan yang berkaitan pada 2021 adalah RM130.14 juta dan RM225.00 juta pada 2022.

“Sudah tiba masanya projek ROL diaudit berdasarkan objektif dan output asalnya supaya peruntukan tidak dibazirkan. AWER ingin menggesa Ketua Audit Negara untuk mula mengaudit projek ROL dengan segera,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada masa sama, Piarapakaran menggesa kerajaan untuk mengaudit peruntukan yang diberikan terhadap projek bekalan air dan elektrik luar bandar serta kos operasi bekalan eletrik alternatif bagi tempoh 20 tahun lepas..

Katanya, langkah tersebut penting bagi mengenal pasti keberkesanan kos, halangan pelaksanaan dan juga pengajaran daripada pengalaman yang dapat dipelajari untuk memastikan operasi, penyelenggaraan serta kerja-kerja naik taraf pada masa hadapan dapat dilakukan dengan cara lebih berkesan.

Beliau turut memaklumkan bahawa peruntukan untuk kos operasi bekalan elektrik alternatif telah berkurangan daripada RM35.6 juta pada 2021 kepada RM30 juta pada 2022.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Piarapakaran berkata, Ketua Audit Negara juga digesa supaya mengaudit projek pengurusan pembangunan sumber air yang dilaksanakan di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

Menurutnya, KeTSA telah diberikan peruntukkan sebanyak RM24 juta pada 2021 dan RM5 juta pada 2022 bagi tujuan tersebut khusus kepada pembangunan sumber air bawah tanah.

“Malangnya, projek dengan nombor kod 11900 (Kajian Sumber Air Tanah Negara) ini mempunyai percanggahan dalam pelaporan perbelanjaan sebenar dan jumlah anggaran kos projek sejak Bajet 2016.

“Sebagai contoh, anggaran kos projek telah meningkat daripada RM68 juta untuk Bajet 2016 kepada RM113.5 juta untuk Bajet 2018 dan terus meningkat kepada RM129.5 juta untuk Bajet 2021.

“Ia hampir dua kali ganda daripada anggaran kos asal. AWER ingin menggesa Ketua Audit Negara mengaudit projek ini di bawah KeTSA,” kata beliau.