Ahmad Idham, Eizlan Yusof sertai Wisma Putra

Eizlan, Idham
Eizlan, Idham
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kementerian Luar (Wisma Putra) pada Isnin mengumumkan dua pelantikan baharu di bawah pejabat Menteri iaitu Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri sebagai Setiausaha Kebudayaan dan Datuk Seri Eizlan Yusof sebagai Perunding Kreatif berkuatkuasa 1 November.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pelantikan berkenaan adalah selaras dengan objektif membangunkan Diplomasi Budaya Malaysia di bawah Kerangka Dasar Luar Malaysia yang bertujuan mewujudkan kaedah baharu bagi mempamerkan identiti dan nilai kebangsaan negara, sekali gus menggalakkan promosi dan pertukaran budaya.

“Wisma Putra sedang menggubal beberapa prioriti dalam Dasar Luar dan satu daripadanya adalah berkaitan Diplomasi Budaya.

“Daripada segi kerja Dasar Luar, Diplomasi Budaya juga turut dipanggil Soft Power, dan di dalam konteks ASEAN 2025 pula, satu daripada teras di dalam Komuniti ASEAN juga menyentuh berkaitan sosio budaya.

“Diplomasi Budaya bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi kita harus tingkatkan kualiti dan mutu kerja di dalam hal ini. Saya yakin bahawa kedua-dua mereka akan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan dedikasi dan jayanya ” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Putra pada Isnin.

Saifuddin menambah, Jawatankuasa Seni & Budaya (ARCA) juga akan ditubuhkan di bawah pejabat menteri untuk mengukuhkan usaha dalam meletakkan seni Malaysia sebagai saluran berkesan dalam mempromosikan warisan sejarah dan budaya negara.

Menjawab pertanyaan media mengenai pelantikan baharu itu, Ahmad Idham berkata, peluang yang diberikan adalah cabang baharu di sepanjang kariernya sebagai penggiat seni.

“Inilah satu daripada impian saya untuk menggerakkan lagi industri kreatif negara, apatah lagi dengan kapasiti yang diberikan di bawah Diplomasi Budaya ini, saya berharap kita dapat mencapai cita-cita untuk mengantarabangsakan budaya dan produk tempatan negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Eizlan juga berterima kasih dengan kepercayaan yang diberikan oleh Wisma Putra sekali gus berharap dapat bergiat agresif untuk mengangkat produk seni tempatan ke persada antarabangsa serta tidak akan menidakkan mana-mana keperluan industri berkaitan yang lain.

Ahmad Idham merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan mempunyai pengalaman luas dalam industri kreatif Malaysia selama lebih 25 tahun, termasuk memenangi anugerah antarabangsa di Pesta Filem Chunsa Korea pada 2018.

Eizlan pula seorang yang tidak asing dalam industri ini dan pernah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti serta memenangi banyak anugerah di peringkat tempatan dan antarabangsa. - Bernama