Beri kebenaran pengeluaran KWSP kali terakhir

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO mengharapkan kerajaan dapat menimbangkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada rakyat yang masih mempunyai baki simpanan melebihi RM10,000 terutama golongan berpendapatan sederhana (M40).

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kebenaran tersebut boleh menjadi pengeluaran KWSP kali terakhir memandangkan ekonomi sudah dibuka dan pandemik makin beransur pulih untuk memasuki fasa endemik.

"Penuhilah permintaan lebih 56 peratus rakyat yang masih punya simpanan melebihi RM10k terutamanya dalam kalangan M40 ke atas untuk mereka memulakan kehidupan baharu pasca pandemik dengan pelbagai komitmen tertunggak yang perlu dilangsaikan.

"Kerajaan melalui KWSP boleh mencadangkan pula pendekatan terbaik untuk menampung kembali pengeluaran besar simpanan hari tua rakyat dengan pelbagai inisiatif pelaburan dan penambahan komitmen caruman tatkala ekonomi kembali pulih kelak," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya pada Isnin.

Pada Ahad, Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein mendedahkan sebanyak 46 peratus daripada ahli KWSP iaitu seramai 5.9 juta pencarum memiliki baki simpanan kurang RM10,000 setakat 30 September lalu.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi juga mengharapkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar dapat membawakan suara majoriti rakyat yang masih mengharapkan pengeluaran i-Citra KWSP dalam Ucapan Perbahasan Bajet 2022 pada Isnin.

"Dulu waktu Pemuda UMNO bersama Datuk Seri Najib Razak bersuara dan memperjuangkan agenda yang sama, alasan serupa juga diberikan Menteri Kewangan waktu itu, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dengan memberikan statistik hampir sama bahawa 46 peratus tidak mempunyai simpanan melebihi RM10,000 dan menjejaskan simpanan hari tua rakyat.

"Namun selepas desakan berterusan akhirnya kerajaan akur jua dengan menawarkan i-Sinar dan i-Lestari. Kali ini, masih Menteri Kewangan sama iaitu Tengku Zafrul walaupun nakhoda kerajaan sudah bertukar.

Artikel Berkaitan:

"Pemuda UMNO tidak pernah berhenti daripada menjadi penyambung lidah rakyat dan akan terus memperjuangkan isu-isu rakyat terutamanya yang susah, resah dan terdesak untuk memenuhi keperluan dan meneruskan kelangsungan hidup," katanya.