Ibrahimovich jaring gol ke 400 peribadi dalam semua liga

Ibrahimovic.- Foto Reuters
Ibrahimovic.- Foto Reuters
A
A
A

PENYERANG AC Milan, Zlatan Ibrahimovic meledak gol ke 400 dalam semua liga domestik yang disertainya ketika membantu pasukan itu menewaskan Roma 2-1 pada aksi Serie A di Stadio Olimpico awal pagi tadi.

Pemain antarabangsa Sweden itu menjaringkan gol berkenaan pada minit ke-25 melalui sepakan percuma, sementara satu lagi gol Milan berjaya dihasilkan Franck Kessié manakala gol saguhati Roma dijaringkan oleh El-Shaarawy pada hujung perlawanan.

Lebih manis gol berkenaan merupakan jaringan ke 150 di Serie A di mana sebelum ini beliau pernah mewakili Juventus dan Inter Milan.

"Rahsia saya masih boleh bermain dengan baik dan berjaya menjaringkan gol terletak pada minda saya di mana saya beranggapan umur 40 ketika ini hanyalah angka semata-semata.

"Saya mahu terus memperbaiki persembahan setiap hari. Sudah tentu saya tidak boleh bermain seperti sebelum ini tetapi kini saya rasa lebih bijak dan mempunyai banyak pengalaman.

"Saya tak terkejut dengan persembahan saya hari ini kerana saya merupakan pemain bola yang terbaik," katanya.

Dalam pada itu tambah Zlatan, dia juga memberi bayangan tidak akan bersara dalam masa terdekat.

Jelas pemain veteran itu, selagi kudrat masih ada, dia akan terus bermain sehingga setakat yang termampu.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak mempunyai apa-apa lagi untuk dibuktikan, namun saya tidak mahu bersara dan kemudian menyesalinya kerana saya beranggapan saya masih boleh untuk bermain.

"Saya tidak mahu berhenti sehingga saya benar-benar selesai.” katanya.