Kes positif Covid-19 dunia lebih 246.6 juta, korban hampir 5 juta

Angka kematian akibat Covid-19 di seluruh dunia kini semakin menghampiri 5 juta kes. - Foto fail Reuters
Angka kematian akibat Covid-19 di seluruh dunia kini semakin menghampiri 5 juta kes. - Foto fail Reuters
A
A
A

JUMLAH kumulatif kes positif Covid-19 di seluruh dunia ketika ini melebihi 246.6 juta.

Ini berikutan lebih 300,000 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat kekal negara paling teruk terjejas dengan 46 juta kes.

Ini diikuti India dengan lebih 34 juta kes dan Brazil dengan lebih 21.8 juta kes.

United Kingdom kini catat lebih 9 juta kes, manakala Rusia dan Turki turut memasuki kumpulan negara yang mencatat lebih 8 juta kes.

Perancis pula mencatat lebih 7 juta kes.

Argentina, Sepanyol dan Colombia melebihi 5 juta.

Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka tertinggi kes Covid-19 dengan lebih 4.2 juta kes.

Artikel Berkaitan:

Ini diikuti Filipina dengan lebih 2.7 juta, Malaysia lebih 2.4 juta kes, Thailand dengan 1.9 juta kes, manakala Singapura merekodkan lebih 198,000 kes.

Sementara itu, angka kematian akibat Covid-19 di seluruh dunia kini semakin menghampiri 5 juta kes.

Berdasarkan data Johns Hopkins University, Amerika Syarikat yang kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 745,000 kes, menjadikan angka kematian global akibat virus itu kini 4.999 juta.

Ini diikuti Brazil dengan lebih 607,000 kes, India lebih 455,000 kes, Mexico lebih 288,000 kes, sementara Rusia kini mencatat lebih 234,000 kematian.

United Kingdom, Itali dan Perancis pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

Negara yang merekodkan angka korban melebihi 95,000 kes adalah Jerman sementara Sepanyol melebihi 87,000 kes.

Di Asia Tenggara, Indonesia mencatat angka kematian tertinggi dengan lebih 143,000 kes korban.

Filipina di tangga kedua korban tertinggi dengan lebih 43,000 diikuti Malaysia dengan 28,000 kes, manakala Thailand dengan lebih 19,000 angka korban. - Awani