Polis siasat pengasuh didakwa dera bayi

Kesan kemerah-merahan pada lengan bayi berkenaan - Foto FB Khidmat Pengasuh Shah Alam
Kesan kemerah-merahan pada lengan bayi berkenaan - Foto FB Khidmat Pengasuh Shah Alam
A
A
A

SHAH ALAM - Polis mengesahkan sedang menyiasat dakwaan seorang pemilik akaun Facebook yang mendakwa bayinya berusia 5 bulan didera pengasuh.

Menurut hantaran yang tular tersebut, beliau menyerahkan bayinya kepada pengasuh tersebut sekitar jam 8.15 pagi di rumah suspek di Seksyen 7 di sini sebelum mengambil kembali anak tersebut pada 1 petang kerana berasa tidak sedap hati.

Difahamkan, pengasuh berkenaan memberi pelbagai alasan apabila disoal tentang kesan kemerah-merahan pada lengan bayi tersebut lantas dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner, Baharudin Mat Taib berkata, siasatan berkenaan kejadian tersebut sedang dijalankan susulan laporan polis yang dibuat oleh bapa mangsa.

"Bapa bayi tersebut membuat laporan polis kerana ada kesan kemerahan di lengan kiri dan kanan mangsa pada hari pertama dalam jagaan pengasuh terbabit.

Hantaran yang dibuat menerusi halaman FB Khidmat Pengasuh Shah Alam
Hantaran yang dibuat menerusi halaman FB Khidmat Pengasuh Shah Alam

"Siasatan mendapati pengasuh tinggal bersama anaknya yang berusia 4 tahun ketika kejadian berlaku.

Pemeriksaan awal doktor mendapati terdapat kesan kecederaan tisu lembut pada lengan mangsa," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menggesa orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kejadian tersebut sementara siasatan dijalankan.

"Kes masih disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 dipenjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.

"Orang ramai adalah dinasihatkan untuk tidak membuat spekulasi dan sekiranya ada yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini, bolehlah salurkan kepada pegawai penyiasat kes Inspektor Anis Shafika di talian 011-10951310,"ujarnya.