Kedutaan di Bangkok edar pek 'Deepavali Delight'

Kedutaan Malaysia di Bangkok pada Ahad mengedarkan kira-kira 100 set pek “Deepevali Delight” kepada rakyat Malaysia yang bermastautin di bandar raya ini. - Foto Bernama
Kedutaan Malaysia di Bangkok pada Ahad mengedarkan kira-kira 100 set pek “Deepevali Delight” kepada rakyat Malaysia yang bermastautin di bandar raya ini. - Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Bagi menyemarakkan semangat “Keluarga Malaysia” dan memeriahkan lagi perayaan Deepavali yang bakal disambut pada 4 November Kedutaan Malaysia di Bangkok hari ini mengedarkan kira-kira 100 set pek “Deepevali Delight” kepada rakyat Malaysia yang bermastautin di bandar raya ini.

Pek “Deepevali Delight” itu mengandungi makanan seperti muruku, tart nanas, kekacang, kuih kapit dan kerepek ubi.

Duta Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel berkata, ia merupakan inisiatif pihak kedutaan untuk menambah lagi keceriaan Deepavali walaupun sambutannya dalam skala kecil.

“Maklum balas yang diterima dalam kalangan rakyat Malaysia yang menetap di Bangkok agak positif bukan sahaja daripada masyarakat India Malaysia tetapi juga dari kaum lain.

“Mereka berterima kasih dan menghargai inisiatif kedutaan untuk memeriahkan perayaan Deepavali walaupun ia disambut dalam skala kecil,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Jojie menyerahkan pek "Deepavali Delight" kepada warga Malaysia di kedutaan pada Ahad.

Penuntut Malaysia yang menetap di Bangkok, Douglas Labadin teruja menerima pek berkenaan.

“Ia mengingatkan saya apabila semua orang berkumpul sambil menikmati makanan ringan dan manisan semasa menyambut Deepavali di rumah,” kata pelajar Universiti Chulalongkorn berusia 26 tahun itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang pekerja syarikat swasta, Amirul Ikhsan Burhannudin mengucapkan terima kasih kepada pihak kedutaan kerana berkongsi pek “Deepavali Delight” dengan rakyat Malaysia yang tidak boleh pulang ke tanah air kerana sekatan perjalanan.

“Perjalanan balik ke tanah air agak rumit sekarang kerana Covid-19, jadi saya gembira kerana kami dapat menikmati snek Deepavali di sini,” katanya. - Bernama