Impak Semenyih pada landskap politik Malaysia

Kerjasama politik UMNO-Pas pada PRK Cameron Highlands menjadi tonik kemenangan di PRK Semenyih.
Kerjasama politik UMNO-Pas pada PRK Cameron Highlands menjadi tonik kemenangan di PRK Semenyih.
A
A
A

PRK Semenyih melabuhkan tirainya tatkala calon BN, Zakaria Hanafi diumumkan sebagai pemenang dengan majoriti 1,914 undi. Menariknya, keputusan ini merupakan suatu kejutan besar memandangkan PH memenangi kerusi ini semasa PRU14 lalu dengan majoriti selesa 8,964 undi. Tambahan pula, keputusan ini menyaksikan buat pertama kalinya parti penyandang gagal mempertahankan kerusi dalam PRK pasca PRU14.

Andaian bakal berlakunya “pertempuran sengit” antara PH dan BN di Semenyih bermula sebelum penamaan calon lagi. Dambaan majoriti kemenangan lebih besar dilaungkan PH dengan keyakinan mampu mengukuhkan kedudukan berdasarkan prestasi terdahulu.

Kejayaan BN susulan jalinan kerjasama politik UMNO-Pas pada PRK Cameron Highlands yang menghadirkan hasil memberangsangkan menjadi tonik penting terhadap motivasi jentera parti itu. Malahan, “perseteruan” kedua-dua parti ini diperkukuhkan lagi dengan hanya penyertaan calon-calon tempelan lain yang dilihat tidak berupaya menggugat dominasi sokongan undi mereka.

Peringkat awal kempen PRK menyaksikan pelbagai permasalahan tempatan diketengahkan, seperti isu tanah yang melibatkan etnik India dan Orang Asli serta desakan kepada pemodenan bandar Semenyih. Isu-isu tersebut kurang “sensasi” disebabkan aspek pembangunan ini memerlukan masa yang lama untuk diselesaikan.

Semakin menghampiri penghujung tempoh kempen pilihan raya, pelbagai pendekatan digunakan secara kreatif untuk menarik perhatian pengundi. Antaranya ceramah, walkabout, flash-mob, unit kempen bergerak, dan kunjungan rumah ke rumah.

Sungguhpun menawarkan pengurangan bayaran tol dan pelan pembangunan fizikal Semenyih, pola kempen PH dilihat tertumpu pada matlamat menyalahkan rejim terdahulu dan meminta lebih masa untuk membuktikan prestasi. BN pula lebih agresif memainkan sentimen Melayu dan menghentam kegagalan rejim PH menunjukkan kesungguhan untuk menunaikan janji-janji politik.

Tidak kurang juga PSM yang menawarkan pelbagai inisiatif bagi membantu meringankan beban hidup rakyat, serta “Uncle Kentang” yang turut memperjuangkan hubungan simbiosis premis makanan-perokok tegar dan nasib gelandangan.

Kempen PRK Semenyih ini juga turut menerima tempias fenomena “malu apa bossku”. Diinspirasikan melalui kata-kata slanga kumpulan bermotosikal anak-anak muda, slogan ini mula digunakan oleh mantan Perdana Menteri Najib Razak sewaktu kempen PRK Cameron Highlands.

Artikel Berkaitan:

Sungguhpun terdapat cakap-cakap politik mahupun analisis sarjana yang menafikan impak produk terbaharu BN ini, popularitinya terus meningkat dan mendapat sambutan menggalakkan di Semenyih. Ditambah pula dengan pemanfaatan sepenuhnya aplikasi media sosial melalui troll yang mempengaruhi minda netizen dan hebahan perancangan aktiviti kempen, kehadiran “bossku” umpama selebriti yang sentiasa ditunggu-tunggu dan mempunyai pesona tersendiri.

Hinggakan Pekan Beranang yang sering kali tenang dan sunyi semasa hari bekerja, mengalami kesesakan trafik yang teruk akibat kebanjiran manusia.

Jika diteliti, fenomena ini bukanlah suatu benda baharu dalam politik Malaysia. Singkapan sejarah lalu menunjukkan “kempen jalanan” seperti ini pernah dilakukan oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, susulan pemecatan beliau daripada kerajaan dan UMNO pada 1998.

Dengan memperjuangkan “reformasi”, beliau menjelajah ke seluruh pelosok negara bertujuan meraih sokongan rakyat. Setelah 20 tahun berlalu, strategi ini dikitarkan semula oleh BN dan disesuaikan dengan suasana politik semasa. Kedua-dua pendekatan ini mempunyai matlamat yang sama, iaitu menagih simpati rakyat.

Bezanya, pendekatan Najib Razak adalah dalam tempoh kempen pilihan raya bagi membantu kemenangan kerusi kepada calon BN, manakala Anwar Ibrahim pula menggerakkan kebangkitan pelbagai golongan rakyat dalam menentang rejim autokrasi.

Perkembangan ini menjanjikan kedinamikan politik Malaysia. Isu lokal gagal menggamit perhatian pengundi berbanding isu nasional. Jalinan kerjasama UMNO-Pas dilihat semakin kukuh hingga tercetusnya idea penggunaan satu logo sahaja pada PRU15. Sentimen Melayu menghadirkan dua implikasi penting iaitu sebagai “jam loceng” kebangkitan kaum tersebut, dan pada masa sama menggores perasaan parti-parti komponen etnik lain BN.

Fenomena “malu apa bossku” pula dijangka berterusan mendapat perhatian dan sokongan awam. Kekalahan kedua berturut-turut seharusnya disambut dengan post-mortem PH untuk meneliti isyarat yang ditunjukkan oleh rakyat.

Kegelisahan rakyat perlu ditangani dengan segera agar tidak menjadi “barah” yang lebih teruk pada masa hadapan. Sesungguhnya, PRK Rantau kelak akan terus menjadi medan “peperangan” kedua-dua parti utama negara ini dalam memperoleh mandat dan kepercayaan rakyat.

* Penulis calon PhD Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia. Penulis juga merupakan pemerhati pilihan raya rasmi SPR bagi PRK N.24 Semenyih