Tangani kesihatan mental sedari awal usia kanak-kanak

Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah
Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesihatan mental perlu ditangani sedari awal usia kanak-kanak dan remaja lagi bagi memastikan daya tahan mereka pada usia dewasa nanti.

Pengasas bersama dan Presiden Kumpulan Reben Hijau, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah berkata, beliau percaya bahawa hasil daya tahan adalah produktiviti, manakala melalui produktiviti lahirnya kegembiraan dan kepuasan.

Menurut beliau, memang benar tiada siapa yang tahu apa yang berlaku pada masa depan dan mereka boleh membayangkan masa depan pendidikan belia seiring dengan pekerjaan mereka, tetapi setiap orang mesti sama-sama bersedia untuk menghadapi realiti hari ini.

“Kesihatan mental adalah asas yang mesti dilakukan dengan betul. Kepada golongan belia, yang merupakan pemimpin masa depan, inti pati mesej saya hari ini adalah perlu berani, jangan takut kepada yang kita tidak ketahui. Jika pandemik Covid-19 telah mengajar kita sesuatu, ia perkara yang kita perlu ambil akhirnya.

“Kedua, pengiktirafan hanya datang dari dalam diri, tiada had bagi anda jika anda berkemahuan, anda mampu. Ketiga, kita adalah agen perubahan kita sendiri, ambil langkah pertama dan selebihnya akan menyusul,” katanya dalam ucaptama pada National Youth Convention 2021 + ASEAN ConnectKBK secara maya pada Sabtu.

Tengku Puteri Iman Afzan berkata, konvensyen pada Sabtu membincangkan empat perkara utama iaitu kesedaran kesihatan mental, masa depan pekerjaan, masa depan pendidikan dan peluang untuk golongan muda dalam keselamatan serta kelestarian makanan.

Menurut laporan media, Tengku Puteri Iman Afzan dilantik sebagai Penaung Antarabangsa bagi Hari Kesihatan Mental Sedunia selepas menerima undangan daripada Gabungan Badan-Badan Kesihatan Mental Sedunia, tugas yang digalas sehingga Oktober ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: