Saran tambah maklumat supaya lebih realistik

Zaharuddin
Zaharuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Bajet 2022 adalah komprehensif untuk pelbagai lapisan masyarakat, namun masih memerlukan maklumat tambahan agar dilihat lebih realistik.

Tokoh Kewangan Islam, Profesor Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, ini kerana kerajaan tidak menyatakan jumlah anggaran penurunan pendapatan akibat pelbagai pelepasan cukai.

Selain itu, katanya, tiada dinyatakan anggaran jumlah hasil negara daripada sumber tambahan bagi mengimbangkan antara perbelanjaan, pengurangan pendapatan dan hasil bagi mengukuhkan kemampanan fiskal negara.

Bagaimanapun, katanya, bajet tersebut membentangkan banyak inisiatif pengurangan sumber cukai dari pelbagai sudut.

Menurutnya, perkara tersebut amat baik bagi menyantuni rakyat dan sudah tentu memberi banyak manfaat.

“Antaranya ialah pengurangan cukai individu untuk kemahiran, cukai syarikat yang membantu untuk mengambil pekerja dan kesihatan mental rakyat.

"Kita dapati ada juga beberapa cukai baharu dan tambahan serta sukuk lestari. Mungkin ini semua bakal mencukupkan agar semua bajet mampu direalisasikan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sementara itu, Pengarah Kajian di Institut Kajian Khazanah, Dr Suraya Ismail berkata, Bajet 2022 memberikan fokus yang tepat terhadap aspek utama diperlukan bagi merancakkan ekonomi negara iaitu melalui usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Suraya
Suraya

Beliau berkata, penumpuan terhadap penciptaan peluang pekerjaan khususnya kepada penganggur melalui inisiatif; antaranya penggajian JaminKerja di bawah Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP) adalah langkah terbaik memulihkan ekonomi.

Beliau berkata, langkah kerajaan menyediakan bantuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) turut membantu industri tersebut.