KPLB beri jaminan manfaatkan peruntukan RM10.53 bilion

Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan memastikan peruntukan berjumlah RM10.53 bilion yang diberikan kepada kementeriannya dalam Bajet 2022 dimanfaatkan sebaiknya bagi menggerakkan usaha pemulihan agar rakyat kembali makmur dalam norma baharu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jumlah yang diperuntukkan juga lebih tinggi berbanding Bajet 2021.

Menurutnya, RM10.53 bilion meliputi RM3.52 bilion peruntukan mengurus dan juga RM7.01 bilion peruntukan pembangunan.

"Jumlah ini adalah RM345 juta atau 3.39 peratus lebih tinggi daripada peruntukan Bajet 2021.

"Jumlah peruntukan ini boleh dianggap besar terutamanya dalam keadaan ekonomi negara yang masih lagi dalam peringkat pemulihan daripada pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mahdzir berkata, menerusi peruntukan itu lebih banyak projek pembangunan yang dapat dilaksanakan di kawasan luar bandar bukan sahaja dari segi infrastruktur, tetapi ekonomi dan modal insan.

Katanya, ia seterusnya dapat menyokong pembangunan sosioekonomi serta mewujudkan persekitaran kehidupan luar bandar yang sejahtera seperti mana yang digariskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Mahdzir turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di atas peruntukan besar kepada kementeriannya itu.

Artikel Berkaitan:

Tengku Zafrul pada Jumaat membentangkan Bajet 2022 berjumlah RM332.1 bilion dengan bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera'.