Manchester United perlu bangkit dalam penyatuan

Maguire
Maguire
A
A
A

KAPTEN berpengaruh Manchester United, Harry Maguire mahu para pemain The Red Devils bangkit semula dalam penyatuan dalam kalangan mereka selepas diaibkan 5-0 ketika melayan kunjungan seteru tradisi Liverpool di Stadium Old Trafford, baru-baru ini.

Maguire merupakan antara pemain yang menerima kecaman hebat berikutan persembahan hambar The Red Devils sekali gus menyaksikan Ole Gunnar Solskjaer berdepan pemecatan.

Pemain-pemain Manchester United sebelum itu mengadakan pertemuan di Carrington bagi bertukar pandangan bersama barisan kejurulatihan, mencari pendekatan terbaik untuk menyelesaikan kemelut yang melanda kelab itu.

Pada masa sama pemain tengah Manchester United, Paul Pogba meminta maaf kepada rakan sepasukan selepas dia diarahkan keluar padang setelah dilayangkan kad merah.

"Bukan mudah untuk melupakan kekalahan besar kepada Liverpool, namun perjuangan Manchester United perlu diteruskan selepas ini.

"Ya, ia merupakan minggu yang mencabar untuk semua pemain-pemain Manchester United, apatah lagi tewas kepada seteru tradisi dalam keadaan keputusan sungguh mendukacitakan.

"Kami telah mengadakan perbincangan, kami juga menganalisis perlawanan dan melihat kepada gol-gol dijaringkan bagi membolehkan penambahbaikan dilakukan menjelang perlawanan seterusnya," ujar Maguire.

Anak buah Solskjaer akan kembali semula ke gelanggang saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Tottenham Hotspur di London, pada Ahad.

Artikel Berkaitan: