Naik taraf pendapatan pekebun kecil

No Image Caption
A
A
A

Negara telah melakar sejarah apabila pernah menjadi antara pengeluar getah terbesar di dunia beberapa dekad lalu. Seiring dengan perubahan zaman dan menjadi antara pembekal getah terbaik dunia untuk memenuhi kehendak pasaran global, kerajaan melakukan transformasi terhadap komoditi itu.

Industri getah kekal menjadi penyumbang ekonomi penting kepada negara di samping membekalkan bahan mentah kepada industri hiliran getah.

Bagaimanapun, harga lantai getah sekerap ketika ini adalah RM2.50 sekilogram jauh lebih rendah berbanding kelapa sawit yang mencecah RM1,100 setiap tan yang sekali gus mewujudkan jurang yang besar antara pengusaha kebun getah dan kelapa sawit.

Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, Mukhriz Mat Husin bersama Pengerusi Risda, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif mengenai berkongsi harapan serta aspirasi mengenai pembangunan industri getah tanah air.

SINAR HARIAN: Meskipun kini negara kita sedang beralih kepada fasa pemulihan berikutan pandemik Covid-19, namun masih ramai yang terjejas dari segi pendapatan terutamanya golongan pekebun kecil dan penoreh getah. Bagaimanakah Datuk melihat keadaan mereka sekarang ini?

MOHD SALIM: Hasil lawatan saya bersama dengan pekebun kecil di peringkat kampung dan kawasan pedalaman, mereka juga terkesan secara langsung. Walaupun suasananya agak berbeza dan mereka masih boleh menoreh seperti biasa tetapi mereka berdepan isu harga lantai yang diperkenalkan pada tahun 2019 iaitu di bawah Insentif Pengeluaran Getah (IPG) iaitu RM2.50 sekilogram. Jika keluasan kebun getah hanya 1.9 hektar, pendapatan mereka sekitar RM1,100 sebulan. Dengan harga lantai getah yang rendah ini, untuk menarik golongan yang hilang pekerjaan pulang ke kampung dan menjadi penoreh agak sukar kerana pendapatannya sangat rendah.

Pada masa depan akan timbul pula siapa akan ambil alih tradisi dan menjadi generasi kedua kerana kebanyakan penoreh ketika ini berumur antara 60 hingga 70 tahun. Apa tarikannya, bagaimana kita hendak kembalikan semula zaman kegemilangan penoreh getah ini yang dulunya boleh dapat RM5 satu kilogram atau RM6. Masa itu, yang berjawatan kerani pun sanggup turun untuk bantu ibu dan ayah kerana mereka dapat lebih daripada harga yang ditawarkan. Pelan strategik yang telah dilancarkan dulu oleh Risda menetapkan sasaran pendapatan isi rumah hendaklah sekitar RM4,500 menjelang 2025. Kita perlu keluarkan pekebun kecil daripada kemiskinan dan naik taraf hidup dan tak perlu lagi menjadi golongan B40.

SINAR HARIAN: Risda meminta kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram mulai Januari tahun depan bagi membolehkan lebih ramai penoreh getah keluar dari garis kemiskinan. Mungkin Datuk boleh terangkan manfaat yang diterima golongan penoreh getah ini.

Artikel Berkaitan:

MOHD SALIM: Kiraannya mudah, apabila harga naik sudah pasti pendapatan mereka juga meningkat. Jika produktiviti mereka meningkat, pendapatan boleh mencapai RM2,500. Secara purata, penoreh getah boleh menoreh sekitar 20 hari dalam sebulan selepas ditolak isu cuaca dan sebagainya. Jadi, sekurang-kurangnya mereka boleh mencapai pendapatan sekitar RM2,000. Jika harga lantai ini RM3.50 tidak dicapai, kerajaan perlu tampung tetapi jika harga getah ini melebihi RM3.60, kerajaan tidak perlu lagi memberi subsidi.

Secara tidak langsung ia boleh dijadikan sebagai ‘simpanan’ untuk menampung jika berlaku sebarang kejatuhan harga. Ini merupakan satu ‘wow factor’ untuk membantu golongan pekebun kecil. Dari sudut lain, kita boleh bangunkan industri getah sebagai pengeluar utama berbanding di tangga ke enam ke tangga ke empat atau kedua. Ini tidak mustahil kerana Malaysia pernah terkenal dengan pengeluaran getah.

No Image Caption

SINAR HARIAN: Risda menekankan kepada getah asli dan difahamkan industri getah penyumbang ekonomi penting. Apa pandangan Datuk terhadap isu ini?

MOHD SALIM: Jumlah pekebun kecil seluruh negara adalah seramai 525,000 orang. Bagi penduduk di luar bandar, inilah punca pendapatannya yang paling mudah. Jika rajin, mereka pasti akan dapat hasilnya sama ada melalui sekerap atau lateks. Dari segi permintaan industri kini, kita mahu menukar corak daripada mengeluarkan getah sekerap kepada getah lateks kerana lateks atau dipanggil getah cair mempunyai pasaran meluas kerana pelbagai pembuatan sektor memerlukan lateks sama ada tayar atau sarung tangan.

Malah proses dan produktiviti untuk lateks juga lebih mudah berbanding pengeluaran sekerap yang terpaksa bekerja dua kali. Pengeluaran lateks menjadi ukuran selain sekerap untuk pekebun kecil mendapatkan pendapatan secara berganda. Kebanyakan pekebun kecil di kampung-kampung lebih sukakan sekerap kerana prosesnya mudah. Cara memproses lateks mungkin sedikit rumit tetapi dari segi risiko lazimnya tidak berlaku kecurian pada lateks. Jadi, sebab itulah kaedah lateks lebih ditekankan.

SINAR HARIAN: Generasi muda diperlukan untuk memajukan industri getah dalam negara ini. Apakah harapan Datuk untuk melihat golongan pekebun kecil dalam kalangan generasi muda dalam meneruskan produktiviti industri getah pada masa depan?

MOHD SALIM: Sebenarnya, saya mahu melihat berlaku transformasi di mana anak-anak muda tidak perlu berhijrah ke bandar tetapi mereka ini terlibat secara langsung sebagai pekebun kecil untuk tidak bergantung lagi kepada tenaga asing. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan sebelum ini, pekerja asing tidak boleh masuk untuk mencegah penularan covid-19. Dari situ kita sedar tentang pengeluaran dan kebergantungan kita selama ini.

Harapan saya rakyat di luar bandar tertarik untuk kembali sebagai pekebun kecil supaya isu B40 dapat dinaik taraf kepada M40, ini matlamat Risda. Jika dicapai, insya-ALLAH garis kemiskinan yang berada di luar bandar dapat kita kurangkan. Ini juga merupakan hasrat perdana menteri untuk membasmi kemiskinan di setiap kawasan Parlimen.

Saya juga berharap agar industri getah dapat membela nasib rakyat terutamanya penoreh getah dalam pembentangan Belanjawan 2022. Kerajaan perlu mendengar keluh kesah penoreh getah agar harga lantai ditingkatkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 seterusnya memakmurkan masa depan pekebun kecil getah.