X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

Pembinaan LRA Langat 2 capai tahap 88 peratus

Kerja-kerja pembinaan terowong 'inlet portal' di LRA Langat 2 giat dilaksanakan pada masa ini.
A
A

HULU LANGAT - Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 telah mencapai tahap 88 peratus bagi tempoh sehingga awal Oktober lalu.

Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Datuk Seri Hasan Arifin berkata, projek pembinaan LRA berkenaan yang berupaya membekalkan sebanyak 1,130 juta liter air sehari (JLH) itu dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun 2023 depan.

Menurut beliau, PAAB bertanggungjawab membangunkan LRA Langat 2 yang merangkumi 23 pakej membabitkan kawasan Hulu Langat, Cheras, Sungai Besi, Bukit Jalil, Petaling, Bandar Kinrara, Bukit Dengkil, Ampang dan Keramat AU3.

"Buat masa ini, LRA ini mampu membekalkan keperluan air sekitar 430 JLH buat penduduk di Lembah Klang sekali gus meningkatkan rizab bekalan air di Selangor," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Terowong Koridor Utara LRA Langat 2, pada Jumaat.

Hadir sama sewaktu majlis berkenaan adalah Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Abdul Hadi Ali.

Hasan (kiri) bersiap sedia bagi melakukan gimik sewaktu Majlis Pecah Tanah Terowong Koridor Utara LRA Langat 2, pada Jumaat.
Hasan (kiri) bersiap sedia bagi melakukan gimik sewaktu Majlis Pecah Tanah Terowong Koridor Utara LRA Langat 2, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Hasan berkata, PAAB telah memulakan kerja-kerja pembinaan terowong 'inlet portal' iaitu sebahagian daripada projek LRA Langat 2 bagi menghubungkan paip air dari Kolam Air Imbangan Hulu Langat ke Kolam Air Ampang.

"Terowong Koridor Utara sepanjang 2.2 kilometer dengan garis pusat 3.2 meter setiap satu itu adalah yang pertama di Malaysia dan masing-masing berfungsi untuk menyalurkan air terawat dan tempat simpanan air (kolam air)," katanya.

Dalam pada itu, Hasan memberitahu, terowong berkenaan berupaya menyalurkan bekalan sebanyak 290 JLH untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan sekitar Ampang, Keramat dan Hulu Klang.

Tambahnya, terowong itu juga dijangka siap sepenuhnya pada 30 September 2023.

"Pembinaan terowong ini merupakan sebahagian usaha PAAB dalam memelihara alam sekitar membabitkan kawasan Hutan Simpan Hulu Langat dan Hutan Simpan Bukit Sungai Putih," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!