Usahawan tempatan kini bangkit

A
A
A

Pandemik Covid-19 yang masih membelenggu negara memberi kesan besar kepada pengusaha tempatan, ramai yang terjejas dan terpaksa menutup operasi.

Namun, ia bukan satu kekangan bagi beberapa pengusaha untuk terus kembali bangkit meneruskan perniagaan.

Produk Agola untuk pendidikan

Pengarah Urusan Prisma Quantum Sdn Bhd, Mohd Fo’at Abd Jalil, akui perniagaannya yang berasaskan permainan pendidikan (education toy) jenama Agola untuk murid tadika, terjejas.

“Agola dikeluarkan pada 2019 iaitu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Masa itu perniagaan memang rancang melalui promosi produk dan jenama. Kami lantik ejen-ejen, buka gerai jualan dan jual dalam talian.

“Apabila Covid-19 melanda dan semua sekolah ditutup, produk kami juga tidak boleh bergerak. Pasaran produk hanya sampai bulan tiga sahaja sehingga sekarang ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, memulakan jenama Agola memerlukan pelaburan yang sangat tinggi khususnya pembinaan prototaip.

Beliau diarahkan oleh pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk membina satu jenama barangan yang boleh dipasarkan di luar negara.

Artikel Berkaitan:

Dari situlah tercetusnya produk dengan jenama Agola yang dihasilkan 80 peratus persamaannya dengan alat permainan Lego tetapi dengan harga yang lebih murah.

Mohd Fo’at turut melakukan inovasi produk Agola kepada pembinaan robotik untuk kegunaan pelajar sekolah rendah dan menengah dengan hanya menggunakan telefon untuk menggerakkan robot tersebut.

“Di Malaysia setiap sekolah hanya ada satu atau dua set robotik sahaja kerana satu set robotik berharga RM5,000. Set robotik saya hanya berharga RM500 dan mampu dimiliki sesetengah ibu bapa untuk kegunaan anak mereka di rumah,” katanya.

Beliau berharap dengan pembukaan sesi persekolahan akan datang dapat membantu mengembangkan semula jenama Agola selepas ini.

Mohd Fo’at berharap sesi persekolahan nanti dapat mengembangkan semula jualan Agola.
Mohd Fo’at berharap sesi persekolahan nanti dapat mengembangkan semula jualan Agola.

Aktif hasil produk baru

Setiap pengusaha perlu mencari alternatif lain dengan mengeluarkan produk tambahan tanpa bergantung produk utama untuk kekal dalam pasaran, demikian kata Pengarah G&H Cake House, Haniz Amira Ahamat.

Berikutan perniagaannya yang turut terkesan kerana PKP, beliau mencari alternatif lain dengan mengeluarkan produk baharu iaitu biskut oat meal (vegetarian).

Produk snek kesihatan ini dihasilkan bertujuan untuk membantu perniagaan kek yang agak kurang dari segi pasaran dan permintaan.

“Perniagaan kek ini bermusim. Jika musim perayaan memang permintaan tinggi. Sejak PKP pasaran memang berkurangan,” jelasnya.

Beliau tidak menyangka produk barunya mendapat tempahan tinggi berikutan ejen yang dilantik dapat bergerak lebih aktif.

Selain itu, beliau turut mengeluarkan produk sejuk beku iaitu frozen churros, popia carbonara dan bebola keju.

“Ketika PKP semua orang hanya duduk di rumah. Jadi, kami usahakan produk yang mudah dimasak dan disukai.

“Sebagai pengusaha memang kena kreatif dan tidak boleh hanya duduk menyerah kalah. Perlu hasilkan produk baru yang ada permintaan, katanya.

Bagi Haniz Amira, setiap peniaga perlu sedaya upaya mencari produk yang boleh dipasarkan dan mengambil peluang yang ada untuk terus kekal dalam pasaran.

Haniz Amira kreatif hasilkan produk baru untuk gantikan kek yang kurang permintaan.
Haniz Amira kreatif hasilkan produk baru untuk gantikan kek yang kurang permintaan.

Beri diskaun kepada pemborong

Pengarah Urusan Industri Makanan Jati, Tan Poh Kong menyifatkan penjagaan kualiti bahan mentah merupakan salah satu cara untuk mengekalkan produk mereka dalam pasaran.

Tambahnya, mereka turut menawarkan potongan harga bermula lapan hingga 10 peratus bagi semua pemborong.

“Sekarang kebanyakan bahan mentah sudah naik harga tetapi kami tak boleh naik sesuka hati naikkan dalam keadaan sekarang ini.

“Kami tidak menaikkan harga supaya harga kami kompetitif, kami jaga kualiti dan tidak guna bahan mentah yang murah supaya kualiti terjaga dan pelanggan tidak beralih jenama lain,” katanya.

Bagaimanapun, syarikatnya kini dalam fasa pemulihan berikutan kejatuhan lebih 50 peratus sejak pandemik melanda negara kerana masih ada restoran yang belum membuka operasi sepenuhnya.

Syarikatnya memasarkan tepung goreng untuk golongan peniaga restoran, pasar malam dan juga hotel.

Poh Kong memberi potongan harga bermula lapan hingga 10 peratus bagi semua pemborong.
Poh Kong memberi potongan harga bermula lapan hingga 10 peratus bagi semua pemborong.

Buat CSR, guna media sosial

“Sebelum pandemik, produk kami (bertih jagung) dapat menembusi pasaran secara meluas dan popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Ketika pandemik, kami bergerak ke platform e-dagang untuk kekal relevan dan produk lebih dikenali,” kata Pengarah Eksekutif Holistic Food Sdn Bhd, Louis Liew Kuo Wei.

Menurutnya, industri snek makanan mempunyai persaingan yang sangat sengit dan sentiasa dimonopoli oleh Multi National Company (MNC), namun dengan produk berkualiti dan harga berpatutan, mereka mampu bersaing dengan syarikat besar.

Pihaknya melakukan promosi secara terbuka dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan Pusat Kuarantin di Serdang.

“Kami juga mengadakan ‘cross branding’ dengan syarikat seperti Tealive serta menggunakan media sosial sebagai alat promosi.

“Jangan takut untuk melabur lebih dalam bahagian pemasaran untuk mengukuhkan jenama buatan Malaysia sebaliknya kita perlu meneruskan usaha sehingga boleh mengeksport ke pasaran yang lebih tinggi,” jelasnya.

Louis Liew menggunakan platform e-dagang untuk jualan bertih jagung.
Louis Liew menggunakan platform e-dagang untuk jualan bertih jagung.