X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Cadangan bina kereta kabel dari Tapah ke Ringlet, Cameron Highlands

Nolee Ashilin (kanan) melihat Draf Rancangan Tempatan Daerah Batang Padang 2035 pada majlis perasmian di Dewan Merdeka, Tapah pada Khamis.
A
A

TAPAH - Pembinaan kereta kabel antara Tapah ke Ringlet, Cameron Highlands, Pahang merupakan projek perdana yang dicadangkan dalam Draf Rancangan Tempatan Daerah Batang Padang 2035 (Penggantian).

Yang Dipertua Majlis Daerah Tapah, Muhamad Sahlan Husnin berkata, limpahan sektor pelancongan di tanah tinggi itu boleh memberi impak besar kepada pembangunan di daerah Batang Padang.

Menurutnya, pembinaan itu bagaimanapun bergantung kepada pandangan awam yang akan diterima nanti.

"Dalam draf ini, kita ada membuat cadangan untuk membina kereta kabel dari Tapah ke Ringlet kerana kita melihat sektor pelancongan kawasan itu boleh memberi impak di daerah ini.

"Dengan kehadiran pelancong untuk ke kawasan itu melalui Tapah, kaedah ini dilihat boleh mengurangkan kesesakan jalan raya. Bagaimanapun, ia masih di peringkat perancangan dalam draf rancangan tempatan tersebut," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Batang Padang 2035 (Penggantian) di Dewan Merdeka di sini pada Khamis.

Majlis perasmian disempurnakan Exco Perumahan, Pelancongan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Sementara itu, Nolee Ashilin berkata, draf pembangunan daerah itu berteraskan kepada pendidikan, pelancongan dan industri sumber jaya.

"Teras itu menjadi prinsip kepada pembangunan mampan, berdaya huni, berkualiti dan pembangunan masyarakat yang inklusif.

"Ini merupakan sesi pendengaran awam yang dianjurkan selama empat minggu untuk memberi peluang dan ruang kepada masyarakat setempat bagi memberi cadangan, pendapat atau bantahan untuk apa-apa pelan pembangunan yang telah didrafkan," jelas beliau.

Menurutnya, terdapat empat draf rancangan pemajuan akan dipublisitikan kepada orang awam di seluruh negeri.

"Ia melibatkan Draf Rancangan Tempatan Daerah Hilir Perak 2035, Draf Rancangan Tempatan Daerah Kuala Kangsar 2035, Draf Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Ipoh 2035 dan Draf Rancangan Kawasan Khas Bandar Warisan Taiping.

"Kesemua draf ini adalah dokumen yang menyokong kepada hasrat kerajaan negeri dalam menyediakan Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang kini masih di peringkat penyediaan," katanya.

Nolee Ashilin berkata, Taman Eko Rimba Lata Kinjang di sini merupakan salah satu projek perdana yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

"Ia satu lagi projek yang kita telah mulakan dan sedang dalam proses pembangunan dan akan dilancarkan. Usaha ini dijalankan bersama Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang bukan sahaja membangunkan taman itu tetapi komuniti perkampungan orang asli berhampiran.

"Ia berasaskan pelancongan yang kita harap dapat memberi kemahiran kepada mereka untuk mengendalikan kawasan tersebut secara teratur dengan bantuan dan pengawasan daripada kerajaan negeri," katanya.

-end-

-end-


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!