Pembangunan bandar raya hijau tumpuan Malaysia selaku Pengerusi IMT-GT

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Untuk memacu ke arah Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) yang mampan, sekurang-kurangnya 12 Pelan Tindakan Bandaraya Hijau (GCAPs) akan dibangunkan untuk bandar-bandar di Malaysia yang berada di kawasan segi tiga pertumbuhan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, GCAPs yang dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan menjadi satu daripada tiga inisiatif utama selaku pengerusi IMT-GT.

Ketika mempengerusikan Sidang Kemuncak IMT-GT ke-13 pada Khamis, beliau berkata, GCAPs adalah inisiatif untuk mengarusperdanakan pembangunan bandar mampan di seluruh bandar negara peserta dan merentasi koridor ekonomi yang lebih luas.

Dua lagi inisiatif adalah memperkasa tunjang institusi IMT-GT, iaitu Majlis Perniagaan Bersama (JBC); selain memperkukuh perkongsian yang telah lama terjalin dengan Sekretariat ASEAN dan Bank Pembangunan Asia (ADB).

“Kami akan bekerjasama rapat dengan ADB dan Kerajaan Tempatan untuk Kemampanan (ICLEI) dalam membangunkan GCAPs. Matlamatnya adalah untuk memacu ke arah IMT-GT yang mampan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, Malaysia bersetuju menerima pakai Koridor Ekonomi Enam dan lima koridor ekonomi yang disusun semula seperti disyorkan ADB, dan mengalu-alukan cadangan untuk memperluas liputan geografi IMT-GT merangkumi seluruh Semenanjung Malaysia.

“Sehubungan itu, saya mengalu-alukan Johor, Terengganu dan Pahang sebagai ahli baharu kerjasama IMT-GT,” katanya.

Mengakui sektor swasta sebagai enjin pertumbuhan IMT-GT, Ismail Sabri menyatakan, inisiatif kedua ialah untuk mempertingkatkan tunjang utama institusi IMT-GT iaitu JBC.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, JBC Malaysia telah didaftarkan secara sah seperti yang diarahkan Sidang Kemuncak IMT-GT ke-11 pada 2018, dengan keutamaan untuk mengukuhkan majlis itu bermula dengan penstrukturan semula tadbir urus dan pengurusannya di samping memperkasa keupayaan penyampaian projek.

“Kami akan menggerakkan JBC untuk meningkatkan pelaburan swasta dalam tindakan iklim, promosi amalan pengeluaran hijau dan memanfaatkan kemahiran serta pengetahuan entiti swasta untuk mempercepat pelaksanaan Kerangka Pembangunan Bandar Mampan (SUDF),” katanya.

Mengenai inisiatif ketiga, Ismail Sabri berkata, dengan adanya perkongsian yang bertepatan ia secara tidak langsung akan membantu mengoptimumkan impak Pelan Tindakan Pelaksanaan (IB 2022–2026).

Untuk bergerak ke hadapan, beliau meminta ADB mewujudkan Dana Pembangunan Projek Khas Subrantau untuk IMT-GT, bagi membantu dalam membangunkan lebih banyak projek bermanfaat yang kemudian boleh dibiayai melalui Kemudahan Kewangan Hijau Pemangkin ASEAN (ACGF), Inisiatif Pembiayaan Lautan (Ocean Financing Initiatives) dan mekanisme pembiayaan lain yang sesuai.

“Saya juga ingin meminta ADB menyokong dalam memudahkan aliran masuk dana dan pelaburan pelbagai hala ke dalam IMT-GT. Saya menggesa ADB untuk menyokong IMT-GT untuk menganjurkan forum pelaburan dan untuk menarik lebih banyak Pelaburan Langsung Asing serta Pelaburan Langsung Domestik ke dalam subrantau itu,” katanya.

Ismail Sabri juga meminta Sekretariat ASEAN untuk membantu IMT-GT berhubung dengan Rakan Dialog ASEAN dan rakan luar yang lain.

Memandangkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan menjadi pasaran baharu dan sumber FDI untuk IMT-GT, beliau berharap Sekretariat ASEAN akan memudahkan proses pembinaan perkongsian IMT-GT dengan ahli dan rangkaian RCEP.

“Kedua, untuk memperkukuh kerjasama antara Strategi Perbandaran Mampan ASEAN (ASUS) dan IMT-GT SUDF, termasuk mempunyai lebih banyak bandar IMT-GT sebagai bandar perintis di bawah ASUS,” katanya.

Dipengerusikan Malaysia, Sidang Kemuncak IMT-GT ke-13 disertai negara anggota serta ADB dan Pusat IMT. Diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-38 dan Ke-39 dan Sidang Kemuncak Berkaitan selama tiga hari bermula Selasa, dipengerusikan Brunei. - Bernama