KPDNHEP tidak perlu tetapkan harga siling kit ujian kendiri

Datuk Rosol Wahid - Foto fail Bernama
Datuk Rosol Wahid - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Harga siling kit ujian kendiri Covid-19 tidak perlu ditentukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid sebaliknya berpandangan, kementerian akan membiarkan pasaran bebas menentukan harga tersebut.

“Pada hari ini, harga jualannya (kit ujian kendiri Covid-19) hampir RM20 (bagi satu set) tetapi kita mendapat keyakinan daripada pengeluar bahawa ada sesetengah daripada mereka akan menjual harga di bawah RM10.

“Ini yang kita nanti-nantikan. Jadi, saya rasa pihak kementerian tak perlu menentukan harga maksimum atau minimum untuk kit ujian kendiri ini.

"Kita biarkan pasaran bebas menentukan harga tersebut,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat pada Khamis.

Rosol berkata, kit ujian kendiri Covid-19 dijual bukan sahaja di farmasi atau kedai-kedai ubat, malah akan diperluaskan di pusat membeli-belah, rantaian kedai-kedai dan stesen-stesen minyak dalam masa terdekat.

“Ini akan memudahkan lagi pengguna untuk mendapatkannya, juga untuk memastikan persaingan sihat,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan: