X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 30 November 2021

Warga emas 80 tahun dipenjara 10 tahun miliki dadah

Hashim Sahipa, 80, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya. - Gambar Astro AWANI
A
A

TAWAU - Seorang lelaki warga emas dihukum penjara 10 tahun di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas kesalahan memiliki 30.75 gram Methamphetamine tahun lalu.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud membuat keputusan itu selepas tertuduh, Hashim Sahipa, 80, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan pindaan, dia bersama isterinya Roaina Ali, 70, didakwa memiliki dadah berkenaan di sebuah rumah atas air tidak bernombor di Kampung Batu, Semporna, jam 4 petang, 17 Disember 2020.

Sehubungan itu, pasangan warga Filipina itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara seumur hidup atau suatu tempoh tidak kurang lima tahun dan juga dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan.

Dalam pendakwaan tersebut, Hashim mengaku memiliki dadah berkenaan, manakala Roaina tidak mengaku bersalah.

Hashim dalam pengakuannya memaklumkan kepada mahkamah bahawa dadah itu miliknya dan tidak ada kaitan dengan Roaina.

Hakim kemudian membuat keputusan Roaina dilepaskan tanpa dibebaskan.

Sebelum ini, pasangan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan selepas pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menemui 57.04 gram hablur putih dipercayai Methamphetamine dalam serbuan di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, pendakwaan menukar pertuduhan mengikut Seksyen 39A(2) selepas laporan kimia mendapati berat sebenar Methamphetamine yang dirampas adalah 30.75 gram.

Awang Kerisnada dalam penghakimannya berkata, tanpa mengira usia tua atau muda, perbuatan tertuduh memiliki dan mengedar dadah adalah salah dan hukuman sewajarnya dijatuhkan ke atas tertuduh sebagai pangajaran kepada semua pihak termasuk dia sendiri.

Bagaimanapun, katanya mahkamah mempertimbangkan tidak mengenakan hukuman sebatan mengambil kira faktor usia dan kesihatan tertuduh.

Roaina seterusnya akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen atas kesalahan tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Moh Suahimi Suriana manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Awani


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!