ASEAN terus bimbang kesan Covid-19

ASEAN bimbang dengan akibat dan kesengsaraan yang berterusan serta gangguan yang teruk dialami masyarakat dan ekonomi, serta kesan buruk terhadap kehidupan dan mata pencarian rakyat, disebabkan Covid-19. Foto Reuters
ASEAN bimbang dengan akibat dan kesengsaraan yang berterusan serta gangguan yang teruk dialami masyarakat dan ekonomi, serta kesan buruk terhadap kehidupan dan mata pencarian rakyat, disebabkan Covid-19. Foto Reuters
A
A
A

SINGAPURA - ASEAN bimbang dengan akibat dan kesengsaraan yang berterusan serta gangguan yang teruk dialami masyarakat dan ekonomi, serta kesan buruk terhadap kehidupan dan mata pencarian rakyat, disebabkan Covid-19 yang memberi kesan besar kepada rantau ini.

Menurut kenyataan pengerusinya, ASEAN mengiktiraf usaha berterusan seluruh kerajaan negara anggota serta pendekatan keseluruhan Komuniti blok itu dalam usaha kolektifnya untuk bertindak balas terhadap Covid-19 dan pulih dengan pantas dan berterusan.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dengan Brunei sebagai pengerusi ASEAN kini sedang berlangsung selama tiga hari mulai Selasa (26 Oktober), melalui persidangan video.

ASEAN menyambut baik kemajuan pelaksanaan Kerangka Kerja Pelan Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF) dan Pelan Pelaksanaannya, yang berfungsi sebagai strategi untuk keluar daripada pandemik Covid-19 serantau.

Ia menyambut baik sumbangan berterusan daripada Negara Anggota ASEAN dan rakan kongsi luar kepada Dana Respon Covid-19 ASEAN yang kini telah menjamin sumbangan berjumlah kira-kira AS$25.8 juta.

Menurut kenyataan itu, ASEAN juga berharap untuk meneroka rantaian bekalan vaksin serantau dan mahu berdikari dalam menghasilkan vaksin berkualiti dan mampu milik untuk kegunaan situasi biasa dan kecemasan di peringkat nasional dan seluruh ASEAN demi manfaat rakyatnya.

Ia selaras dengan Deklarasi Pemimpin ASEAN mengenai Keselamatan Vaksin Dan Ketidakbergantungan ASEAN (AVSSR), kata kenyataan itu.

Blok itu berharap penubuhannya bertepatan pada masanya dan Pusat Kecemasan Kesihatan Awam dan Penyakit Baharu ASEAN (ACPHEED) segera beroperasi.

Artikel Berkaitan:

ACPHEED akan berfungsi sebagai pusat kecemerlangan dan hab sumber bagi mengukuhkan keupayaan serantau untuk menyedia, mencegah, mengesan dan bertindak terhadap kecemasan kesihatan awam dan penyakit baharu.

“Kami menghargai dan menyambut baik sokongan dari Jepun dan Australia bagi ACPHEED, serta menggalakkan rakan kongsi luar lain untuk menyokong operasinya.

"Kami menggesa negara-negara berkenaan bersikap fleksibel dan bertolak ansur untuk mencapai keputusan mengenai pemilihan negara tuan rumah untuk ACPHEED bagi membolehkan Pusat itu segera beroperasi," katanya.

ASEAN juga menyambut baik kemajuan dalam pembangunan Sistem Koordinasi Kecemasan Kesihatan Awam ASEAN (APHECS), dan pelancaran Portal ASEAN untuk Kecemasan Kesihatan Awam.

“Kami juga menyokong kepentingan mengukuhkan kerjasama serantau terutamanya ke arah menangani kesan pandemik terhadap kesihatan mental,” kata kenyataan itu.

ASEAN juga mengalu-alukan penggunaan Kerangka Kerja Pengaturan Koridor Perjalanan ASEAN (ATCAF) oleh Majlis Penyelaras ASEAN (ACC) dan menantikan pemulaan operasinya.

Dalam hal itu, ia menyambut baik Pelan Pemulihan Pasca Covid-19 untuk Pelancongan ASEAN, yang menyediakan langkah-langkah yang diselaraskan untuk diguna pakai oleh Negara Anggota ASEAN dalam pendekatan berperingkat bagi pembukaan semula industri dengan selamat, sambil berusaha ke arah ASEAN yang lebih mampan, berdaya tahan dan pelancongan ASEAN yang inklusif.

ASEAN mengulangi komitmennya untuk memastikan pasaran yang terbuka dan memastikan aliran perdagangan dan pelaburan yang berterusan, kelancaran rantaian bekalan, terutamanya untuk produk penting, dan ekonomi yang kukuh dan berdaya tahan pasca Covid-19.

Bagi tujuan itu, ia mengalu-alukan pelanjutan senarai barangan keperluan di bawah Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai Pelaksanaan Langkah-Langkah Bukan Tarif terhadap Barangan Penting di bawah Pelan Tindakan Ha Noi untuk Memperkukuh Kerjasama Ekonomi ASEAN dan Kelancaran Rantaian Bekalan dalam Reaksi terhadap Pandemik Covid-19 untuk memasukkan 107 senarai tarif produk pertanian dan makanan ke dalam senarainya.

“Kami juga sedang meneliti kemungkinan melanjutkan tempoh MOU serta memperluas senarai barangan keperluan berikutan ketidaktentuan akibat pandemik Covid-19 yang berterusan.

“Ini akan memastikan pengaliran bebas barangan keperluan di rantau ini dan memberikan sokongan kepada sektor swasta pada waktu yang mencabar ketika rantau ini terus memerangi pandemik Covid-19,” katanya.- Bernama