Nik Azman dilantik Ketua Audit Negara

A
A

PUTRAJAYA - Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dilantik sebagai Ketua Audit Negara untuk tempoh dua tahun mulai 23 Februari 2019 hingga 22 Februari 2021, demikian umum Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar hari ini.

Nik Azman, 60, menggantikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 22 Februari.

Ismail dalam satu kenyataan berhubung pelantikan itu memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan pelantikan Nik Azman sebagai Ketua Audit Negara berdasarkan Fasal (1) Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja telah memperkenankan pelantikan itu.

Sebelum dilantik sebagai Ketua Audit Negara, Nik Azman adalah Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

"Nik Azman mempunyai pengalaman luas dalam bidang ekonomi dan kewangan,” kata Ismail.

Selain pernah berkhidmat di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Nik Azman juga pernah berkhidmat di Unit Perancang Ekonomi, Bank Dunia Washington D.C., Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri.

Ismail turut merakamkan penghargaan kerajaan terhadap Madinah atas segala khidmat bakti beliau sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Audit Negara.

"Khususnya dalam usaha-usaha mentransformasi dan menstrukturkan semula sistem pengauditan serta mengukuhkan sistem pengurusan kewangan kerajaan,” kata Ismail. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia