Little India Melaka kembali meriah

Keadaan Little India, Jalan Bendahara yang dikunjungi masyarakat India untuk membuat persiapan Deepavali.
Keadaan Little India, Jalan Bendahara yang dikunjungi masyarakat India untuk membuat persiapan Deepavali.
A
A
A

MELAKA - Little India di Jalan Bendahara di sini, kembali meriah apabila pengunjung yang terdiri daripada masyarakat India mula membuat persiapan menjelang sambutan Deepavali 4 November depan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan kedai pakaian dikunjungi pelanggan selain jualan pelbagai jenis kuih raya di tepi jalan.

Guru, R Gobindran,29, dari Taman Muhibbah, Jasin berkata, persiapan awal perlu dilakukan supaya tidak bersesak terutama ketika hujung minggu dan pandemik Covid-19.

Gobindran
Gobindran

Menurut Gobinran, masa yang sesuai dan keadaan membeli-belah selesa perlu kerana dia membawa bersama ibunya.

"Ibu saya warga emas. Apabila ada kesempatan saya akan membawa ibu bersama adik membeli barang keperluan untuk Deepavali.

"Lagipun kami gembira menyambut perayaan ini kerana sudah boleh merentas negeri dengan membuat persiapan awal," katanya di sini, pada Selasa.

Pengujung tertarik melihat bunga hiasan berwarna-warni yang dijual di Little India Jalan Bendahara, Melaka.
Pengujung tertarik melihat bunga hiasan berwarna-warni yang dijual di Little India Jalan Bendahara, Melaka.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, keluarganya juga akan menyediakan ujian kit kendiri Covid-19 kepada saudara-mara yang datang menziarahi mereka sekeluarga bagi mencegah penularan Covid-19.

"Dalam kita teruja nak beraya, kesihatan juga perlu diutamakan kerana pandemik ini belum berakhir," katanya.

Bagi jururawat B Lakshimi, 37, dari Muar Johor pula sanggup datang membeli-belah di Jalan Little India kerana mudah mencari barang keperluan selain terdapat banyak pilihan kedai menjual sari.

Lakshimi
Lakshimi

Menurutnya, ditemani suaminya mengambil kesempatan membeli keperluan perayaan pada hari bekerja kerana sedia maklum lokasi itu sesak pada Sabtu dan Ahad.

"Kami tidak perlu pergi ke tempat berbeza dan tempat letak kenderaan juga mudah," katanya.

S Verraapan, 47, pula hanya membuat persiapan sederhana tetapi tetap memilih untuk ke Little India pada hari biasa kerana bimbang penularan kes Covid-19.

"Raya tetap raya, disebabkan tidak mahu pergi banyak tempat jadi saya mengambil keputusan membeli barang keperluan di sini lebih awal," katanya.

Sementara itu pengurus Kedai Sari Raaji Silk, Mohd Indran Khan Jabarull Khan, 23, berkata, sejak kerajaan membenarkan rentas negeri, ramai pelanggan luar Melaka termasuk dari Pulau Pinang yang datang ke kedainya untuk membeli sari sebagai persediaan awal Deepavali.

Ujarnya, kedai yang beroperasi sejak sejak 15 tahun lalu itu antara lokasi pilihan pengunjung kerana menawarkan sari serendah RM30 hingga mencecah RM7,000.

Mohd Indran Khan menunjukkan antara kain sari terbaru Kanchipuram yang mendapat permintaan pelanggan untuk perayaan kali ini.
Mohd Indran Khan menunjukkan antara kain sari terbaru Kanchipuram yang mendapat permintaan pelanggan untuk perayaan kali ini.

Katanya, biarpun dikunjungi ramai pelanggan namun beliau tetap mahu pelanggan mematuhi SOP dengan membenarkan hanya 10 orang sahaja berada dalam kedai dalam satu masa.

Bagi penjual biskut, P Sivamy, 46, dari Banda Kaba, tidak melepaskan peluang berniaga lebih 30 jenis kuih termasuk muruku pelbagai jenis di tepi deretan kedai Little India.

Sivamy
Sivamy

Menurutnya, walaupun perlu mengamalkan SOP termasuk memakai pelitup muka namun bukan penghalang untuk dia menambahkan pendapatan keluarga menjelang musim perayaan itu.

"Ini pertama kali saya berniaga di sini. Walaupun hanya menggunakan kanopi namun saya tetap menyediakan pengimbas MySejahtera untuk pelanggan," katanya.