Edutourism trend percutian terkini di Bali

A
A
A

PULAU Seribu Kuil dan Pulau Dewata adalah di antara jolokan yang diberi kepada Pulau Bali. Ia menambahkan lagi elemen misteri dan mitos yang menjadi salah satu daya tarikan pelancong.

Selain itu, berada di Pulau Bali anda akan merasakan diri begitu dekat dengan alam kerana budayanya yang menghormati alam semula jadi serta mempercayai bahawa setiap hidupan flora dan fauna mempunyai rohnya tersendiri.

Penulis berada di Tanah Lot. Untitled
Penulis berada di Tanah Lot. Untitled

Kuta, Legian dan Seminyak antara tumpuan utama pelancong yang mahukan percutian santai di sekitar pantai. Bagi mereka yang menghargai seni bina bangunan lama dan kuil, lokasi pelancongan seperti Uluwatu, Tanah Lot serta Bedugul adalah antara lokasi yang wajib dilawati. Namun, terdapat banyak lagi lokasi yang belum diterokai di Pulau Bali ini.

Jika mahukan suatu percutian yang sedikit berbeza, Bali Edu Tours and Travel menyediakan pakej pelancongan ‘Edu-Culture’ dan ‘Edu-Adventure’. Pakej ini memberi peluang kepada mereka yang inginkan suatu pengalaman eksplorasi Bali yang lebih intim dan mengenali pulau dewata ini dari sudut pandangan yang berlainan.

Pelancong pertama jejak Bukit Abab

Penulis berpeluang meneroka tiga lokasi kali ini iaitu eksplorasi ke Bukit Abah, menyelami kehidupan petani garam di Pantai Kusamba dan mempelajari proses pembuatan kopi Arabika di pergunungan Kintamani.

Perjalanan mengambil masa selama dua jam dari Kuta untuk tiba ke Bukit Abah. Sepanjang perjalanan ke Bukit Abah langit Bali dihiasi dengan pelbagai warna dan bentuk layang-layang kerana berlangsungnya festival layang-layang di Padang Galak.

Artikel Berkaitan:

Pemandangan Bukit Abah.
Pemandangan Bukit Abah.

Setibanya di kaki Bukit Abah, suhu berubah menjadi sedikit dingin dan hirupan udara segar menandakan bahawa kami hampir tiba ke destinasi.

Jalan kenderaan yang sempit dan berliku menunjukkan bahawa lokasi ini belum lagi dikomersialkan sepenuhnya kepada pelancong. Sepanjang perjalanan dengan menaiki kenderaan ke puncak bukit, kelihatan beberapa aliran mata air menuruni lereng-lereng bukit terasa seolah-olah alam menyambut kedatangan kami.

Pemandangan Gunung Batur, Gunung Abang dan Gunung Agung.
Pemandangan Gunung Batur, Gunung Abang dan Gunung Agung.

Perasaan sedikit bangga apabila Bapak Made Sukana pemandu pelancong kami dari Bali Tours Edu memberitahu bahawa kami adalah pelancong pertama dari Malaysia yang sampai menjejakkan kaki ke sini. Agak teruja kerana tidak dapat menjangkakan apakah pengalaman yang bakal diraih dari eksplorasi ini.

Kedatangan kami disambut mesra oleh penduduk setempat dan seterusnya diperkenalkan dengan Bapak Gede Sudarsa yang membawa kami mendaki serta menyelusuri sekitar kampung di Bukit Abah.

Menurut beliau sumber pendapatan utama penduduk di Bukit Abah ialah perusahaan nira kelapa. Seterusnya kami dibawa mendaki ke puncak Bukit Abah dan menjamu santapan mata yang paling indah apabila tiba di puncak. Bagi mereka yang gemarkan aktiviti mendaki, Bukit Abah adalah antara lokasi di Bali yang perlu anda jejaki.

Pesisir Kusamba nan hitam

Dari Bukit Abah kami menuruni landskap berbukit bukau menuju ke Pantai Kusamba. Perjalanan mengambil masa selama 45 minit terasa singkat kerana melalui kawasan perkampungan dan hamparan sawah padi yang menghijau.

Pantai Kusamba.
Pantai Kusamba.

Setibanya di Pantai Kusamba kami agak terpegun melihat warna pasir di pesisir pantai. Ungkapan pasir nan putih bukanlah untuk Pantai Kusamba. Pasirnya berwarna kehitaman di selang-seli dengan kilauan seolah-olah berlian. Warna dan kilauan pasir ini adalah mineral hasil daripada aktiviti letusan gunung berapi semenjak beratus tahun dahulu.

Perusahaan garam laut asli di desa nelayan Kusamba.
Perusahaan garam laut asli di desa nelayan Kusamba.

Kami dibawa melihat kehidupan petani garam di Desa Nelayan Kusamba. Perusahaan pembuatan garam secara tradisional ini merupakan suatu pekerjaan yang semakin dilupakan. Penghasilan garam bergantung sepenuhnya kepada keadaan cuaca. Beberapa langkah perlu dilakukan sebelum mendapat hasil garam laut ini.

Garam laut asli yang telah siap diproses di desa nelayan Kusamba.
Garam laut asli yang telah siap diproses di desa nelayan Kusamba.

Bagaimanapun, sekiranya cuaca tidak menyebelahi dan hujan, segala proses yang dilakukan tidak akan dapat menghasilkan garam. Mereka perlu melakukan proses tersebut semula dari awal. Pendedahan kepada proses pembuatan garam tradisional ini menyedarkan kami akan jerih perih petani garam ini untuk menghasilkan garam laut yang berkualiti.

Kopi Arabika

Keesokannya perjalanan kami diteruskan ke pergunungan Kintamani untuk melihat proses penghasilan kopi Arabika. Dengan ketinggian 900 meter dari aras laut, segala proses pembuatan kopi dikawal dengan teliti bagi menjamin kualiti kopi yang terbaik.

Tanaman kopi di Kintamani.
Tanaman kopi di Kintamani.

Kami dibawa ke ladang kopi sehinggalah ke proses pengeringan dan akhirnya pembungkusan. Apa yang menarik ialah pokok kopi tidak dapat hidup dengan sendirinya. Setiap pokok kopi yang ditanam akan di selang-selikan dengan tanaman lain seperti pokok limau dan pokok pisang agar pokok kopi dapat dilindungi dari cahaya matahari.

Untuk sekalian kalinya alam mengajar kami bahawa tidak ada sebarang kehidupan di dunia ini yang mampu hidup bersendirian. Setiap hidupan memerlukan antara satu sama lain.

Perusahaan kopi di Kintamani.
Perusahaan kopi di Kintamani.

Peribahasa mengatakan jauh perjalanan luas pemandangan. Ertinya lebih banyak tempat yang dilawati maka lebih banyak ilmu yang didapati. Kini, ramai yang menjadikan mantra ini untuk mengembara mahupun melancong.

Jika Pulau Bali menjadi destinasi anda, bukan sahaja anda dapat berlibur bahkan memperoleh pengetahuan baharu sekiranya ke lokasi pelancongan ini. Suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila anda belajar dan berlibur di Bali. Untuk maklumat lanjut layari www.baliedutours.com

#Sihataktif

#Jomrelaks