Terus bersuara isu gangguan seksual: Ahmad Faizal

Ahmad Faizal ketika sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Faizal ketika sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menggesa semua atlet untuk terus bersuara tentang isu gangguan seksual seperti isu jenaka lucah.

Menurutnya, sekiranya ia berlaku, kerajaan dapat mengambil tindakan segera berhubung perkara terbabit.

“Tentu sekali kerajaan amat serius memerangi masalah gangguan seksual.

“Tambah lagi jika berlaku perkara yang lebih daripada gangguan seksual dalam kalangan atlet daripada pegawai atau jurulatih sendiri,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) berhubung pendiriannya dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkenaan isu gangguan seksual melibatkan atlet.

Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong di laman sosial Twitter miliknya sebelum ini mendedahkan pengalamannya berdepan dengan jurulatih yang sering membuat lawak lucah terhadap rakan atlet.

Sebuah portal kemudiannya melaporkan Ahmad Faizal sebagai berkata, beliau mahu mengetahui mengapa insiden itu dibangkitkan kini selepas tujuh tahun berlalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal menambah, apa yang disebut olehnya pada sidang akhbar pada Isnin telah dibuat secara luar konteks oleh media.

Artikel Berkaitan:

“Apa yang saya sendiri perkatakan pada sidang akhbar semalam (Isnin) mungkin telah dicatatkan secara luar konteks oleh media bahawa kita perlu mendapatkan penjelasan yang lebih daripada Datuk Pandalela sendiri dan mereka yang terlibat dalam perkara yang melibatkan jenaka lucah dan sebagainya,” katanya.

Jelas Ahmad Faizal, beliau cuba untuk mendapatkan penjelasan yang menyeluruh berkenaan perkara tersebut sebelum mengambil tindakan-tindakan yang sewajarnya.