Rangka Kerja Tindakan Pembangunan Bumiputera dijadual diumum PM

Mastura - Foto Bernama
Mastura - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Status semasa Rangka Kerja Tindakan Pembangunan Bumiputera yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan diumum dan dilancarkan akhir tahun ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mastura Mohd Yazid.

Mastura berkata, rangka kerja yang akan memperincikan model baharu pembangunan ekonomi bumiputera bagi 10 tahun akan datang itu dijadual dilancar oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Ia akan menjadi kesinambungan dasar bumiputera terdahulu bagi meningkatkan status ekonomi serta sosioekonomi bumiputera terutama sekali bagi menghadapi era pascapandemik Covid-19,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.

Mastura menjawab soalan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) yang mahu Perdana Menteri menyatakan status rangka kerja tindakan pembangunan bumiputera seperti diumumkan di bawah RMK12 serta penglibatan agensi kerajaan bermandat bumiputera seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dalam membangunkan rangka kerja tindakan ini.

Menjelas lanjut, Mastura berkata, Teraju sebagai sekretariat dalam membangunkan rangka kerja ini telah menjalankan sesi sindikasi dan libat urus bersama 32 kementerian, agensi kerajaan dan pemain industri sejak April hingga Julai lepas.

“Ia berhasil mengenal pasti 142 program pembangunan dan inisiatif untuk memacu pembangunan sosioekonomi bumiputera dengan sumbangan lebihan kendalian kasar berjumlah RM201.5 bilion pada 2030 dan mencipta 406,995 pekerjaan.

“Pembiayaan berjumlah RM106.47 bilion daripada sektor awam dan swasta akan disuntik ke dalam projek rintis dan inisiatif yang dikenal pasti untuk mencapai sasaran akhir aktiviti pertumbuhan ekonomi utama (KEGA) & Bidang Keutamaan,” katanya.

Beliau berkata, program itu dijangka memperkukuh, mempersiap dan melestarikan perniagaan bumiputera untuk kekal berdaya saing dan berjaya di peringkat domestik, serantau dan global.

Artikel Berkaitan:

Ia juga bagi meningkatkan penyertaan syarikat bumiputera dalam rantaian nilai global (Global Value Chain) berorientasikan eksport produk bernilai tambah tinggi, katanya. - Bernama