Pelan Tindakan Nasional Buruh Paksa dilancar bulan depan

M Saravanan
M Saravanan
A
A
A

PUTRAJAYA - Pelan Tindakan Nasional Buruh Paksa dilancarkan bulan depan sebagai satu daripada pendekatan menangani isu buruh paksa di negara ini termasuk dalam sektor pembuatan sarung tangan getah, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Menerusi kenyataan pada Jumaat, beliau berkata, pelan tersebut mengandungi empat matlamat strategik dari aspek kesedaran, penguatkuasaan, migrasi buruh dan akses kepada remedi dan perlindungan untuk mangsa.

Beliau berkata, isu buruh paksa memberikan imej buruk terhadap sektor pembuatan sarung tangan getah negara yang mana Malaysia adalah pengeksport utama dengan menguasai 60 peratus pasaran global dan sektor itu juga menyumbang 51.1 peratus daripada keseluruhan jumlah eksport negara.

Menurut Saravanan, isu buruh paksa dalam sektor pembuatan sarung tangan getah mula dikaitkan dengan syarikat tempatan bermula pada September 2019 dan sehingga kini, tiga syarikat tempatan telah dikenakan sekatan namun telah ditarik balik pada bulan Mac dan September tahun lepas.

Dalam pada itu, beliau memandang serius sekatan import dikenakan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (US CBP) terhadap produk berasaskan getah keluaran anak syarikat Supermax Corporation Bhd.

Katanya, sekatan itu dikenakan berdasarkan kepada siasatan US CBP yang mendapati bahawa syarikat tersebut mempunyai 10 indikator buruh paksa dalam operasi pembuatan syarikat tersebut.

Pada Rabu lepas (20 Oktober), pihak US CBP mengeluarkan Perintah Sekatan Pelepasan (WRO) ke atas Supermax Corp dan semua anak syarikatnya atas alasan menerima maklumat yang mendakwa berlakunya penggunaan buruh paksa dalam operasi pembuatan syarikat terbabit.

Susulan itu, sarung tangan pakai buang keluaran anak syarikat milik penuh Supermax Corp iaitu Maxter Glove Manufacturing Sdn Bhd, Maxwell Glove Manufacturing Bhd dan Supermax Glove Manufacturing, telah dilarang daripada memasuki semua pintu masuk Amerika Syarikat berkuat kuasa Khamis (21 Oktober). - Bernama

Artikel Berkaitan: